
Tuesday, October 27, 2015
Guna Pendekatan Inovatif Tolak Propaganda Ekstremis Dalam Media Sosial – Salleh
CYBERJAYA : Agensi-agensi kerajaan perlu
menggunakan pendekatan inovatif untuk menyampaikan mesej kepada golongan
sasaran dalam usaha menolak propaganda dan ‘perjuangan’ puak ekstremis
dalam media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
berkata mereka yang bersuara bagi pihak kerajaan perlu dilengkapkan
dengan kemahiran supaya hujah bagi menangani mesej dan menangani naratif
bukan sekadar retorik tetapi dilengkapi fakta dan asas pertimbangan
kukuh.

“Ini termasuklah meningkatkan kredibiliti mereka yang terbabit di
mata majoriti senyap agar mereka terdorong untuk berkongsi naratif dan fakta yang disalurkan.
“Kita perlu memikirkan pendekatan yang inovatif untuk menyampaikan
mesej kita kepada golongan sasaran tertentu. Ini memerlukan kemahiran
dalam menganalisis kehendak golongan sasaran dan menyediakan mesej
bersesuaian buat golongan itu,” katanya semasa merasmikan seminar
‘Peranan Media Baharu Memerangi Persepsi Keganasan’ di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SMKM) Datuk Seri Dr Halim Shafie dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Salleh menarik perhatian bahawa usaha memperkasa golongan majoriti
senyap penting bagi meningkatkan tahap literasi media dan digital agar
rakyat khususnya golongan muda menolak propaganda puak ekstremis dalam
media sosial.
Beliau berkata apabila pemimpin negara dilemparkan dengan pelbagai
tuduhan yang tidak berasas, isu itu terus dimanipulasi dalam media
sosial walaupun pencerahan demi pencerahan dibuat dan pelbagai bukti
dikemukakan.
Persepsi masyarakat amat sukar diubah kerana adanya asakan persepsi
yang menular selain persepsi negatif terhadap kepimpinan negara dan kerajaan, yang dilihat seolah-olah tertanam dalam kalangan mereka khususnya pengguna media sosial.
“Saya selalu mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menilai dengan
penuh berwaspada apa jua maklumat yang diterima dan disebarkan melalui
pelbagai medium media sosial.
“Usahlah sebarkan maklumat yang kita sendiri tidak pasti kesahihan
dan sumbernya…janganlah terlalu mudah terpengaruh dengan mainan dan
manipulasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab khususnya dalam perkara
yang boleh menggugat kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment