Tuesday, October 27, 2015
Peluang Besar Dalam Dunia Islam, Kata Jamil Khir
KUALA LUMPUR : Dunia Islam menawarkan peluang yang besar dari
segi perdagangan serta pelaburan, dan menjadi tanggungjawab umat Islam
untuk memanfaatkannya demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan
dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.
“Justeru, amat penting negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) saling menyokong dalam mencapai matlamat kita dan memajukan Negara
masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita sebelum merasmikan Perniagaan Dunia Islam
2015 Ke-6 yang bermula hari ini selama empat hari, bertemakan
‘Kebangkitan Era Kegemilangan Perindustrian’.
Mengulas persidangan dan pameran utama dunia Islam itu, Jamil Khir
berkata pemimpin OIC harus menyahut cabaran bagi membolehkan perdagangan
serantau dan global mencapai potensi penuhnya.
Pada persidangan kali ini, 10 tokoh menerima Anugerah Dunia Islam
termasuk Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Tan Sri
Mohd Yusof Noor, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan
Felda Ventures Holdings Bhd Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan CEO
Central Spectrum Mahmud Abbas.
Turut menerima anugerah itu ialah CEO Bosnia Bank International Amer
Bukvic, Pengasas Solico Group Gholamali Soleimani dan Ketua Pendakwa
Raya Wilayah Herat, Afghanistan, Maria Bashir.
Pengasas Perniagaan Dunia Islam, Datuk Raja Mohamad Abdullah yang
meninggal dunia pada Mac lalu, dianugerahi Anugerah Sepanjang Hayat yang
diterima oleh balunya Datin Nordi Mohamad Hussien.
Acara itu dianjur oleh Pusat Perniagaan Antarabangsa OIC dengan
kerjasama OIC, Pusat Islam bagi Pembangunan Perdagangan dan disokong
oleh kerajaan Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment