
Tuesday, October 27, 2015
Rancang Lebih Banyak Program Berimpak Tinggi Kepada Pembangunan Ekonomi Bumiputera – Husni
KUALA LUMPUR : Agensi-agensi kerajaan telah diminta merancang
lebih banyak program berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi
Bumiputera dan negara dengan meminimumkan kos operasi.
Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang membuat
gesaan ini berkata perancangan itu penting untuk program transformasi
yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu golongan
Bumiputera.

“Kita perlu meneroka. Menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D)
kita mampu membawa Bumiputera berada di paras yang sepatutnya. Kita
perlu cipta kemampuan kita, jangan lagi sentiasa berharap pada orang
lain,” katanya ketika berucap pada acara lawatan pertamanya ke Menara
Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, hari ini.
Ahmad Husni memberi contoh peranan besar yang dimainkan oleh PNS
telah berjaya mewujudkan ramai usahawan Bumiputera yang mempelopori
banyak bidang francais di negara ini.
Kejayaan itu, katanya merupakan lonjakan baharu kepada usahawan
Bumiputera khususnya kaum Melayu pada hari ini untuk terus berdaya saing
dan setanding dengan kaum lain.
Menteri Kewangan Dua itu juga meminta usahawan Bumiputera supaya
mengambil peluang untuk mengadakan lebih banyak hubungan dengan
usahawan-usahawan yang berjaya dan menimba ilmu sebanyak mungkin
daripada mereka.
“Harapan saya semoga kita semua sedar, kita punyai banyak peluang
terbuka, tetapi kita tak menggunakannya dengan baik. Gunakan pengalaman
kejayaan orang lain sebagai pendorong kepada kita,” kata Ahmad Husni.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainuddin serta
Pengerusi PNS Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bersama lebih 200 warga
kerja PNS.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment