
Tuesday, October 27, 2015
Malaysia Berusaha Rapatkan Jurang Undang-Undang Syariah Dan Common – Ahmad Zahid
NILAI : Malaysia kini bergerak maju ke arah mengharmonikan
dan merapatkan jurang yang wujud antara undang-undang Syariah dan
Common, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebenarnya, jika kita mengesan sejarah pembangunan sistem
perundangan kita, proses mengharmonikan undang-undang Syariah dan Common
telah berlaku sejak lebih dua dekad di negara ini.
“Ini sememangnya penting bagi menyemai rangka kerja perundangan yang
berwibawa, cekap dan kondusif serta mewujudkan persekitaran kawal selia
yang dinamik.
“Hari ini, kita dapat saksikan pengaruh undang-undang Common dalam
prosedur dan keterangan yang digunakan di Mahkamah Syariah dan pemakaian
undang-undang Islam yang ditadbir oleh Mahkamah Sivil,”katanya pada
perasmian Seminar Antarabangsa Undang-undang Syariah dan Common Ketiga
(ISCOL 2015) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari
ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata sebagai sebahagian daripada usaha berterusan
Malaysia memperkukuh sistem dan infrastruktur perundangan bagi
menampung pembangunan kewangan Islam yang semakin meningkat, kerajaan
Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang pada
2010.
Ia diketuai bekas Ketua Hakim Negara Malaysia Tun Abdul Hamid Mohamad
dan disokong oleh anggota-anggota dari bidang perundangan dengan
matlamat memastikan undang-undang Malaysia adalah bersesuaian dengan
undang-undang Syariah.
Menurutnya undang-undang Syariah dan Common merupakan dua bidang
berlainan yang telah berkembang dalam tempoh berbeza di Malaysia.
Kedua-duanya adalah unik dari segi sumber undang-undang, hirarki
kewibawaan, peraturan undang-undang dan amalan termasuk kaedah dan
pewajaran, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
“Walaupun berbeza dengan ciri-ciri unik, sebarang kelemahan yang ada
tidak harus dilihat sebagai halangan untuk menegakkan keadilan.
“Dengan mengambil kira kepelbagaian dua sistem undang-undang ini,
kita mesti memahami realiti negara ini. Kita tidak dapat lari daripada
hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum, budaya dan agama
dengan sistem perundangan bercampur.
“Dalam sebuah negara yang demokratik, apa-apa perubahan dan
penambahbaikan yang kita mahu perlulah dilakukan menerusi cara yang
demokratik. Lebih penting lagi, kita perlu melakukannya mengikut batasan
Perlembagaan,” kata Ahmad Zahid.
Seminar dua hari itu yang bertema “Meneroka Pendekatan Wasatiyyah
Dalam Mengharmonikan Undang-undang Syariah dan Common” dianjurkan
bersama oleh Fakuliti Syariah dan Undang-undang USIM dan Institut
Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment