
Tuesday, October 06, 2015
Najib Minta Ling Tarik Balik Kenyataan Atau Berdepan Saman
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut bekas
Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik supaya memohon maaf dan menarik balik
kenyataan fitnah terhadap perdana menteri atau berdepan tindakan
undang-undang.
Dalam surat tuntutannya, firma guaman Messrs Hafarizam Wan &
Aisha Mubarak berkata firma itu telah diarahkan supaya mengambil
tindakan dan menuntut penarikan balik, permohonan maaf yang jelas dan
ganti rugi munasabah berhubung kenyataan yang diterbitkan menerusi
artikel bertajuk ‘MCA’s Liong Sik Joins Call For Najib’s Ouster For
allegedly Putting People’s Money in His Own Pocket’.

Surat itu menyebut bahawa makna yang jelas menerusi perkataan yang
terkandung dalam artikel itu membawa maksud bahawa, antara lain, Najib
telah menyalahgunakan wang milik dana pelaburan kerajaan ke dalam akaun
peribadi beliau; bahawa beliau menyalahgunakan dana itu bagi kepentingan
peribadi beliau, bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua
parti politik dan pemimpin negara, dan bahawa beliau tidak layak untuk
menjadi ketua kerajaan Malaysia.
Artikel itu disiarkan Malay Mail online pada 3 Okt lepas dan masih
boleh dilayari masyarakat umum menerusi jaringan sejagat, menurut surat
bertarikh 5 Okt 2015, dan ditandatangani peguam Najib, Datuk Mohd
Hafarizam Harun.
Firma itu, yang bertindak bagi Najib atas sifat peribadi beliau,
berkata surat itu diserahkan di rumah Ling di Bukit Damansara di sini
semalam, dan diterima isteri Ling pada 4 petang.
Surat itu menuntut supaya Ling melakukan perkara berikut dalam masa tujuh hari:
> BERHENTI daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah
atau apa-apa kenyataan seumpamanya yang merujuk kepada anak guam kami,
> MENGELUARKAN permohonan maaf yang jelas dan penuh secara
bertulis serta menarik balik kenyataan fitnah, berdasarkan terma yang
dipersetujui oleh kami, bagi pihak anak guam kami,
> MENERBITKAN penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf itu
dalam muka surat dan saiz yang dipersetujui anak guam kami dalam dua
akhbar nasional yang dipilih anak guam kami,
> MEMBERI anak guam kami janji bertulis bahawa anda akan mengelak
daripada mengeluarkan/menerbitkan kenyataan fitnah atau apa-apa
kenyataan seumpamanya, dan
> MEMBAYAR GANTI RUGI kepada anak guam kami berkaitan semua kos dan perbelanjaan yang berbangkit daripada perkara ini.
“Sekiranya kami tidak menerima sebarang jawapan yang memuaskan
berhubung perkara di atas, adalah dianggapkan bahawa anda tidak
mempertikaikan dakwaan anak guam kami seperti yang dinyatakan dalam
surat ini, dan, walau apa pun, bahawa anda berhasrat untuk terus
menerbitkan kenyataan berunsur fitnah.
“Dalam perkara ini, kami menerima arahan yang tegas daripada anak
guam kami untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda dan/atau
ejen yang berkaitan dengan anda tanpa apa-apa rujukan selanjutnya
kepada anda, termasuk memohon injunksi untuk menghalang sebarang
penerbitan seperti itu lagi,” menurut surat itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment