Tuesday, October 06, 2015
Pidato Piala Presiden 2015 Tampil Kelainan Bagi Tahun Kedua Penganjurannya
KUALA LUMPUR : Seramai 573 peserta pertandingan Pidato Piala
Presiden bagi tahun 2015 ini akan menampilkan kelainan daripada
persembahan mereka di mana dibenarkan menggunakan alat bantuan (prop)
atau multimedia yang ringkas, menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia,
Datuk Ahmad Maslan.
Tambahnya lagi, penyertaan yang melibatkan ahli UMNO dari seluruh
negara itu akan dibahagikan kepada lima zon, iaitu Zon Utara; Timur;
Selatan; Tengah dan Sabah.
“Tujuan utama mengadakan pertandingan ini selain daripada mencungkil
kreativiti pemidato, ia juga sebagai medan latihan bagi menjelas dan
menjawab setiap isu berhubung dasar dan tindakan kerajaan Barisan
Nasional (BN) khususnya oleh UMNO.
“Ia juga mampu memperkukuhkan jentera penceramah penerangan di semua
peringkat,” kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
itu.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai pertandingan tersebut yang dianjurkan buat tahun kedua di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni
Zahari, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar, Ketua
Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamdzah dan johan pidato bagi
tahun lalu iaitu Mustafa Musa.
Seperti tahun sebelumnya, Piala Pidato Presiden 2015 menawarkan
hadiah bernilai RM10 ribu bagi tempat pertama berserta piala pusingan
dan sijil, kedua RM7,500 berserta piala iringan dan sijil, ketiga RM5
ribu berserta piala iringan dan sijil manakala saguhati RM1 ribu
berserta sijil bagi 12 orang peserta peringkat akhir.
“Pada tahun ini juga ditampilkan kelainan dari segi kategori, ada tiga kategori iaitu lelaki, wanita dan belia atau beliawanis.
“Kategori lelaki dan wanita terbuka kepada mereka yang berumur 41
hingga 60 tahun manakala belia atau beliawanis dari golongan muda 21
hingga 40 tahun.
“Di samping itu, pemenang setiap zon juga diberi hadiah wang tunai sebanyak RM500,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu juga, pertandingan saringan di Zon Utara akan diadakan
pada 18 Oktober ini yang melibatkan 129 peserta; Zon Timur pada 24
Oktober seramai 108 orang; 25 Oktober di Zon Selatan seramai 120 orang;
31 Oktober di Zon Tengah seramai 141 orang dan 75 orang dari Zon Sabah
pada 1 November, tambahnya.
“Hanya seorang pemenang bagi setiap kategori dari setiap zon akan
dipilih untuk bertanding di peringkat akhir pada 8 Disember di Pusat
Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, yang melibatkan 15 orang finalis.
“Hadiah peringkat akhir ini akan disampaikan sendiri oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga merupakan
Presiden UMNO,” jelasnya lagi.
Pada tahun lalu, selain Musfata Musa dari Alor Gajah yang menjadi
johan pidato, tempat kedua dimenangi oleh Khairul Nizam Ryan Lasio dari
Keningau, Sabah manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Ikhwan
Rosseli dari Kelana Jaya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment