Monday, January 11, 2016
Alhamdulilah ALLAH Buka Pintu Hatinya Untuk Memeluk ISLAM....
JOHOR BAHRU : Rasa cinta pada Islam dan keinginan mendesak untuk
mempelajari lebih mendalam agama itu, membuka hati satu keluarga Cina di
sini memeluk Islam hari ini.
Chong May Koi, 50 tahun, seorang peruncit, isterinya, Tan Kuan Neo, 48,
pekerja di syarikat swasta dan anak-anak, Ronny Chong Kuan Fah, 24, Joan
Chong Mei Neo, 19 dan Mary Ann Chong May May, 17, berkata, mereka
sekeluarga memeluk Islam bukan dipaksa tetapi atas kerelaan hati.
Chong dengan nama Islamnya, Mohd. Chong Abdullah berkata, dia sekeluarga
telah mengikuti Islam sejak beberapa tahun lalu dan tiga tahun terdekat
ini, kami benar-benar mengikuti secara mendalam mengenai Islam.
''Agama Islam memberi ketenangan pada diri saya dan keluarga, lagi pun
kami semuanya telah berpuasa sejak tiga tahun lalu, walaupun sebelum itu
belum memeluk agama Islam lagi.
''Jadi pada tahun ini dan tarikh 1 Januari 2000, kami bersepakat anak
beranak untuk memeluk agama Islam dan menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w
serta mengikut ajaran sunnah dan hadis,'' katanya yang tinggal di Kempas
dekat sini.
Isterinya, Tan yang menggunakan nama Siti Aishah Abdullah berkata, dia
telah mempelajari beberapa potong ayat al-Quran serta mengucap dua
kalimah syahadah dengan jelas tanpa pelat.
''Saya boleh berbahasa Melayu dengan baik kerana berasal dari keluarga
baba di Melaka dan kami bergaul dengan ramai orang Melayu dan mereka
banyak mengajar kami cara kehidupan Islam,'' katanya.
Anak-anaknya, Ronny yang menggunakan nama Amir Chong Abdullah, Joan
(Nurul Nadirah Abdullah) dan Mary (Nurul Nadiah Abdullah) berkata,
mereka masuk Islam bukan mengikut bapa atau ibu, tetapi atas kerelaan
hati.
''Kami tidak dipaksa oleh mereka tetapi rasa tertarik dengan ajaran Islam. Ia menyenangkan,'' kata abang sulung, Amir.
Nurul Nadirah menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di Kuala
Lumpur, sementara Nurul Nadiah kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
Keluarga ini diislamkan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam
(Penyelaras Saudara Baru) Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Johor
(JAIJ), Ustaz Latif Juffri di pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia
cawangan Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.
Menurut Ustaz Latif, keluarga tersebut akan mengikuti beberapa kelas
untuk memantap fardu ain termasuklah praktikal solat, berwuduk, bersuci
dan kelas Iqra.
Tambahnya, keluarga Mohd. Chong merupakan yang pertama diislamkan tahun
ini dan JAIJ berazam untuk mengislamkan lebih 500 orang lagi.
Pada majlis itu, keluarga Mohd. Chong turut diberikan hadiah berupa
sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara
baru setiap seorang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment