
Sunday, January 10, 2016
Bajet : Jawatankuasa Dasar Fiskal Bertemu Bulan Ini Bincang Pengubahsuaian Bajet
IPOH : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal bulan ini
untuk membincangkan pengubahsuaian Bajet 2016 ekoran senario semasa
ekonomi.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata
menentukur semula bajet perlu dilakukan berikutan kejatuhan harga minyak
dunia.

“Pengubahsuaian akan dibentangkan tidak lama lagi. Pada asasnya kami
melihat kepada dua bahagian, dan yang pertama adalah bagaimana
memaksimumkan hasil.
“Kami juga melihat kepada sumber dan aset kerajaan. Kami
(kerajaan) mempunyai syarikat kami sendiri. Jadi, kami perlu melihat
prospek mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium
Perniagaan Quest International University Perak (QIUP) 2016, di sini,
hari ini.
Ahmad Husni berkata selain Perdana Menteri, mesyuarat khas itu akan
dihadiri Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan
menteri-menteri berkaitan lain.
Menurutnya, Kementerian Kewangan ketika ini sedang menjalankan
simulasi berasaskan harga minyak pada US$35 setong untuk menentukan
kesannya kepada hasil kerajaan tahun ini.
“Kami perlu bersedia,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Husni berkata Kementerian Kewangan
akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam
Diraja Malaysia untuk menentukan strategi terbaik memaksimumkan
pendapatan kerajaan.
Pada Jumaat, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pengubahsuaian
itu akan mengambil kira beberapa faktor bagi menentukur semula.
Perdana Menteri berkata pengubahsuaian Bajet 2016 akan melibatkan
antara lainnya, mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan
syarikat berkaitan kerajaan dan kerajaan terus menjaga kesejahteraan
rakyat.
Mengulas mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Ahmad Husni
berkata kerajaan akan meneruskan program itu meskipun kelembapan ekonomi
global kerana ia bukan sahaja membantu rakyat yang kurang bernasib
baik, tetapi pada masa yang sama boleh meningkatkan ekonomi tempatan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment