
Sunday, January 10, 2016
Kerajaan Negeri Bakal Lancar Program Perumahan Golongan Berpendapatan Pertengahan
KOTA TINGGI : Kerajaan negeri Johor bakal melancarkan program
perumahan bagi mereka yang berpendapatan pertengahan dalam usaha
memastikan kesemua lapisan masyarakat boleh memiliki kediaman sendiri.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi tujuan
itu kerajaan negeri akan berbincang dengan Perbadanan Perumahan
1Malaysia (PR1MA) untuk mencapai hasrat tersebut.

Beliau berkata projek perumahan untuk golongan pertengahan itu
akan dilancarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi selepas
perbincangan dengan PR1MA selesai.
“Apabila selesai perbincangan dalam masa dua tiga bulan ini, kita
akan lancarkan dan akan beritahu berapa unit dan di mana rumah untuk
golongan berpendapatan sederhana,” katanya.
Ketika ditanya mengenai harga setiap unit rumah berkenaan, Mohamed
Khaled berkata ia diharap boleh dijual dengan harga kurang daripada
RM300,000 seunit.
“Selama ini kerajaan negeri memberi perhatian kepada Rumah Mampu Milik (RMM) dengan harga bawah RM150,000.
“(Kini) sudah tiba masanya kita melihat keperluan pembinaan rumah
untuk keperluan menengah, mereka daripada pendapatan pertengahan, rumah
yang mereka perlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Perumahan Mampu
Milik Johor dan perasmian Bangunan Rumah Kelab Komuniti Taman Desaru
Utama, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina
Othman Said merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Setiausaha Kerajaan
Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment