
Sunday, January 10, 2016
Bauksit : Kerajaan Pahang Perkenal Peraturan Lebih Ketat

BENTONG : Kerajaan Negeri Pahang akan memperkenalkan peraturan
baharu yang lebih ketat dalam perlombongan bauksit bagi
memastikan aktiviti tersebut tidak lagi mendatangkan masalah atau
mencemarkan alam sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata peraturan baharu itu
akan digubal hasil perbincangan dengan pihak dan agensi penguatkuasaan
berkaitan isu bauksit.
Menurutnya agensi yang terlibat termasuk Pejabat Tanah dan Galian
(PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ).
“Kita juga minta saintis yang faham dengan keadaan ini untuk
tampil memberikan cadangan. Saya minta semua bersabar kerana perkara ini
melibatkan banyak aspek seperti lokasi, pengangkutan dan pelabuhan.
“Kita mencari jalan penyelesaian terbaik bagi semua pihak,” katanya
selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1437H/2016M Peringkat
Daerah Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di
sini, hari ini.
Adnan menjelaskan bahawa beliau tidak berdiam diri dalam
permasalahan bauksit malah mengambil pendekatan untuk mendapatkan maklum
balas daripada pihak berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan agar
tidak mengeruhkan keadaan.
Katanya untuk waktu ini, tumpuan kerajaan negeri adalah
untuk membersihkan Pelabuhan Kuantan dalam tempoh seminggu bermula 15
Jan, iaitu hari tempoh moratorium perlombongan bauksit selama tiga bulan
bermula.
Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti dua tempat yang akan dijadikan pusat pengumpulan setempat, katanya.
Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) bahawa berlaku ketirisan dalam royalti yang dianggarkan berjumlah lima kali ganda daripada RM47 juta yang dikutip pada 2015, Adnan berkata
beliau akan berjumpa dengan pihak terlibat dengan kutipan royalti.
Beliau menegaskan tidak mahu berada dalam penafian atau menudingkan
jari kepada mana-mana pihak dalam isu ini, sebaliknya melihat adalah
penting untuk perkara ini diselesaikan agar tidak berulang.
“Kutipan cukai bahan mineral melibatkan banyak pihak iaitu PTG,
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kastam dan pelabuhan. Semua
(pengiraan) agensi ini kena selaras dan sepadan dan paling besar adalah
pelabuhan kerana mereka tahu berapa muatan baukist yang dinaikkan ke
atas kapal.
“Saya kira semula dan sepatutnya kita boleh mendapat
(royalti) sekurang-kurangnya RM180 juta. Ini yang kita kena siasat
semula, jadi empat agensi ini kena duduk bersama supaya tidak berlaku ketirisan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment