Sunday, January 10, 2016
Perpaduan Orang Melayu Penting Untuk Pembangunan Kelantan – Ahmad Jazlan
MACHANG : Tindakan PAS menolak kerjasama politik
dengan Barisan Nasional (BN) tidak bermakna perpaduan tidak boleh
dicapai dalam kalangan orang Melayu di Kelantan demi kepentingan Islam dan pembangunan negeri.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad
Jazlan Yaakub berkata perpaduan umat Islam di Kelantan amat penting
kerana ia menjadi tanda aras atau “kayu pengukur” sejauh mana perpaduan
umat Islam di Malaysia.
Ini kerana majoriti penduduk Kelantan adalah terdiri daripada orang
Melayu dari dahulu hingga sekarang, katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Majlis Sepagi Bersama Penduduk di Kampung Sungai Hala Dalam
di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS
Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh mengenai keputusan majlis itu yang
memutuskan parti itu tidak akan menjalin kerjasama politik dengan BN,
Sabtu lepas.
Sebaliknya, Nik Mohd Zawawi dilaporkan media berkata parti itu
terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang melibatkan soal
agama Islam.
Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negeri ini
berlaku antaranya berpunca daripada pelbagai ‘fatwa’ pemimpin PAS yang
mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata perpecahan itu menyebabkan proses pembangunan
negeri terbantut sehingga menyebabkan Kelantan jauh ketinggalan
berbanding negeri lain.
“Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keadaan itu berubah apabila
penyokong PAS di akar umbi sudah mendekati program-program yang
dianjurkan UMNO, mereka saling bekerjasama seperti bergotong-royong
membersihkan kawasan kampung,” katanya.
Beliau berkata UMNO Kelantan menghormati pendirian PAS itu namun
berharap pada masa depan parti itu boleh mengadakan kerjasama politik
dengan BN.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment