
Sunday, January 10, 2016
Kerajaan Negeri Akan Bantu Mangsa Kebakaran Perkampungan Setinggan Cari Penempatan Baharu

JOHOR BAHARU : Kerajaan negeri Johor sedang mencari
jalan untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran rumah setinggan di Jalan
Kebun Teh Lama, dekat sini semalam, mencari kediaman baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan
Masyarakat negeri Asiah Md Ariff berkata bantuan itu bertujuan
memastikan mangsa kebakaran mempunyai tempat tinggal selepas kejadian
malang yang menimpa mereka.
“Kami dalam proses berbincang dengan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ)
dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mencari cara bagi membantu
mangsa yang masih gagal mencari kediaman kekal,” katanya selepas membuat
lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran itu di sini
petang tadi.
Selain itu, bantuan segera berupa wang tunai sebanyak RM150
turut disampaikan kepada 55 mangsa kebakaran daripada 14 keluarga yang
ditempatkan di Dewan Tarom Jalan Abdul Samad, di sini.
“Mereka akan ditempatkan di sini selama tiga hari dan tempoh itu
akan dilanjutkan sekiranya mereka masih tidak mempunyai tempat untuk
berteduh. Kami sediakan kelengkapan asas seperti makanan, minuman dan
barangan keperluan ,” katanya.
Asiah berkata kesemua 14 keluarga itu merupakan sebahagian sahaja
daripada mangsa kerana sebahagian lagi telah mendapat perlindungan di
rumah saudara mara masing-masing.
Menurut Asiah, buat masa ini, JKM serta Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan mengenai punca
kebakaran dan bantuan jangka panjang akan diberikan selepas proses itu
selesai.
Ditanya mengenai soal penempatan pula Asiah berkata pihaknya masih
menunggu hasil siasatan JBPM bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit
adalah kepunyaan mangsa atau disewa.
Salah seorang mangsa yang ditempatkan di dewan itu Syahrul Rafik
Hidir, 24 berkata dia terharu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri
memberi tempat pelindungan sementara kepada mereka.
Syahrul berkata kejadian yang mengakibatkan rumahnya terbakar dan musnah itu dianggap sebagai dugaan.
Dia yang panik hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja kerana kejadian berlaku begitu pantas.
“Saya tidak ada pilihan lain, kecuali mencari rumah sewa untuk
tinggal bersama ayah dan adik beradik yang lain,” katanya yang mendiami
kawasan itu sejak 22 tahun lepas.
Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor, Mohd
Rizal Buang berkata 27 daripada 35 rumah terbakar dalam kejadian pukul 5
petang semalam, mengakibatkan 155 mangsa daripada 32 keluarga hilang
tempat tinggal.
Katanya operasi memadam api menghadapi kesukaran kerana tekanan air
rendah, namun dapat diatasi dengan bantuan menggunakan dua jentera
tangki air masing-masing berkapasiti 20,000 dan 10,000 mililiter.
Menurut Mohd Rizal kebakaran berjaya dikawal pada 7.49 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.30 malam semalam.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku dan punca serta jumlah kerugian belum dikenal pasti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment