
Monday, January 11, 2016
BTN Perlu Penjenamaan Semula Untuk Kekal Relevan – Azalina

KOTA TINGGI : Biro Tata Negara (BTN) perlu melalui
proses penjenamaan semula bagi memastikan pengisian ilmunya relevan
kepada kumpulan sasaran terutamanya generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata program BTN memerlukan banyak perubahan khususnya dari sudut
pengisian yang relevan memandangkan kebanyakan sasaran peserta terdiri
generasi muda.
“Kita harap dalam masa terdekat ini, kita akan buat penjenamaan
semula supaya BTN ini fokus kepada anak muda di peringkat universiti,
kolej atau sekolah.
“Bagaimanapun program ini juga harus ditumpukan kepada anak-anak
muda lepasan universiti dan mungkin juga yang tidak masuk universiti
tetapi terus bekerja,” kata beliau kepada pemberita di sini petang
semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Pengerang 2016 di Dataran Sungai Rengit, Pengerang, dekat sini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Datuk
Syed Sis Abd Rahman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development
Corporation Bhd (JPDC) Mohamad Yazid Jaafar.
Azalina berkata BTN juga perlu fokus kepada elemen patriotisme
sebab generasi muda merupakan pewaris kepada negara, sekali gus
mengurangkan elemen ekstremisme.
“Sehubungan itu, saya harap penjenamaan semula BTN khususnya pada
sumber teras lebih kepada tanggungjawab bersama generasi muda sebagai
pewaris kepada negara,” kata beliau.
“Saya juga hendak menekankan bahawa ‘kita Malaysia dahulu’ tidak kira
sama ada Melayu, Cina, India, orang Sabah atau Sarawak, itu perlu
menjadi fokus kepada BTN,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment