
Sunday, January 10, 2016
Ekonomi Negara Dipengaruhi Faktor Luar Kawalan Bukan Kesilapan, Kelemahan Negara – Najib

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata faktor-faktor luaran yang di luar kawalan akan
mempengaruhi ekonomi negara dan ia bukan kesilapan atau kelemahan negara.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata faktor-faktor itu adalah
seperti harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan
kelembapan ekonomi China.
“Kita sekarang berdepan dengan keadaan mencabar. Soal ekonomi berlegar sebagai soal utama dalam kalangan rakyat.
“Semua kena faham ia bukan kesilapan kita, bukan kelemahan kita
tetapi faktor-faktor di luar kawalan kita. Sebab itu, apabila kita
memasuki tahun 2016 ini, kita mesti beri tumpuan kepada apa yang kita
boleh lakukan sebagai sebuah negara, kerajaan dan pentadbiran,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Jabatan
Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi tahun ini di sini hari ini.
Hadir sama barisan menteri dan timbalan menteri di JPM, Ketua
Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Pada perhimpunan itu, Najib menjelaskan kesan penyusutan ketara harga
minyak mentah Brent yang menjunam daripada kira-kira U$100 setong
kepada antara US$32 dan US$33 setong ketika ini.
“Sudah tentu sebagai sebuah negara pengeluar minyak, ia memberi kesan
kepada kita. Saya telah umumkan kesannya dalam RM30 bilion kekurangan
hasil negara.
“Apabila kita bentangkan bajet, kita letak paras (harga minyak) pada
US$48 setong tetapi sekarang ia menjunam kepada antara US$32 dan US$33
setong. Dengan ini, kita perlu ‘recaliberated’ (pengubahsuaian) pada
Bajet 2016,” katanya.
Beliau juga berkata tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat
untuk ‘normalise’kan (menormalkan) kadar faedah menyebabkan Dollar
Amerika lebih kukuh berbanding nilai mata wang di seluruh dunia,
termasuk Ringgit.
Selain itu, katanya, kelembapan ekonomi China juga memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
Beliau memberikan contoh seperti apabila berlakunya pengurangan
pembelian kereta akan menyebabkan kurangnya pembelian tayar, sekali gus
mengakibatkan pengurangan pembelian getah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment