Sunday, January 10, 2016
Jangan Guna Landasan Politik Untuk Kepentingan Perniagaan dan Peribadi - TPM
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu ahli
politik yang lebih mengutamakan perniagaan serta kepentingan peribadi
berbanding khidmat kepada rakyat untuk berundur daripada pentas politik.
Beliau berkata sikap segelintir pemimpin dan anggota politik itu merosak dan mencemar nama baik parti serta negara.
"Elaklah, agar tidak berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Harus ada
titik pemisah kerana negara akan rosak kalau ada golongan seperti ini,"
katanya semasa merasmikan Program Jelajah Usahawan Malaysia Pakar
(JUMP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur,Sabtu.
Ahmad Zahid berkata golongan seperti ini menjadi punca kepada pandangan
negatif rakyat kepada ahli politik dan anggota kerajaan, serta menjejas
peluang kepada golongan usahawan sebenar, terutama usahawan muda yang
mahu bertapak dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata tugas dan tanggungjawab utama pemimpin serta anggota
parti politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, dan bukan untuk
menjadikan parti politik sebagai platform untuk mendapat lebih banyak
tender kerajaan.
"Beri peluang kepada usahawan muda. Cukuplah... jangan rosakkan nama orang politik," katanya.
Ahmad Zahid meminta mereka yang berpolitik supaya memberi sepenuh
tumpuan kepada politik manakala yang berniaga pula memberi sepenuh
tumpuan kepada perniagaan masing-masing.
Menurutnya golongan yang berniaga atas landasan politik tidak akan dapat
kekal dan bertahan lama kerana ia berbeza dengan golongan peniaga
sebenar yang tidak mencampur aduk urusan perniagaan dan politik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment