Sunday, January 10, 2016
"Saya Tak Pernah Menangis Kerana Tak Dapat Makan, Tapi..." – Siswi UNISZA
DUNGUN : Semalam cerita pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi sering ikat perut hingga mencederakan usus.
Kali ini siswi Universiti Sultan Zainal Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala
Terengganu pula mendedahkan dirinya sudah biasa berlapar, hanya meneguk
air kosong tanpa menjamah makanan akibat kesempitan wang.
Pelajar tahun dua diploma teknologi maklumat Fatin Farhana Azwa Rasdy
berkata ada kalanya beliau minum sahaja sebagai “alas perut” kerana
belum mendapat pinjaman atau sudah kehabisan wang di hujung semester.
“Selepas ditolak yuran pengajian, biasanya saya akan memperoleh baki
kira-kira RM1,000 namun sedikit daripada wang itu saya kirimkan kepada
keluarga di kampung untuk perbelanjaan enam lagi adik yang masih
bersekolah.
“Baki yang tinggal saya gunakan untuk membeli makanan, buku dan
peralatan menyiapkan tugasan pelajaran,” katanya seperti dipetik laporan media hari ini.
Fatin berkata dia tidak kisah mengikat perut kerana sudah biasa melalui
kehidupan susah sejak kecil, malah tidak pernah menghubungi keluarganya
di kampung di Dungun meminta wang saku.
“Saya tidak pernah menangis kerana tidak dapat makan, namun air mata
saya pernah mengalir apabila ada sesetengah individu mengejek kerana
kemiskinan saya dan tidak layak untuk berkawan dengan mereka.
“Kejadian seperti ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus
berjaya, selain bantuan berterusan disalurkan UniSZA, antaranya memberi
komputer riba, wang zakat, bantuan makanan, wang saku bagi membolehkan
saya terus menuntut ilmu,” katanya.
Sementara itu, timbalan naib canselor UniSZA Dr Nik Wan Omar dalam
laporan sama berkata universiti menawarkan pelbagai saluran kebajikan
seperti tabung kebajikan dan tabung zakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah
Zainuddin pula berkata kad diskaun siswa 1Malaysia (KDS1M) akan
ditambah baik bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup penuntut
institusi pengajian tinggi.
Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup 2016
yang diadakan semalam di Putrajaya bersetuju dengan cadangan itu.
Namun perbincangan secara mendalam mengenainya belum dibuat lagi, kata Hamzah seperti dilapor.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment