
Sunday, January 10, 2016
Media Mesti Bertanggungjawab, Elak Sebar Berita Yang Cetus Konflik

KUALA LUMPUR : Media arus perdana dan alternatif
perlu bertanggungjawab dan mengelakkan daripada menyebar berita yang
boleh mencetuskan konflik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata sikap itu penting kerana apa yang diterbitkan media boleh mempengaruhi orang ramai dan membentuk pendapat umum.
“Menyebar berita palsu atau yang diputar-belitkan mampu memberi kesan
buruk selain mencetuskan konflik,” katanya dalam catatan terbarunya
dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.
Menurut Salleh baru-baru ini terdapat berita kurang tepat yang
disiarkan sehingga hampir mengakibatkan negara berdepan konflik
perkauman dan hanya dengan tindakan pantas pihak berkuasa berjaya
menghalang keadaan yang boleh mencetuskan pertumpahan darah.
Catatan Salleh itu adalah sebagai mengulas kenyataan Sultan Perak,
Sultan Nazrin Shah semalam yang menyatakan media adalah mekanisme
penting yang mampu mempengaruhi hala tuju dunia.
Oleh itu, Salleh menggesa pengamal media menerima nasihat Sultan
Perak dan memastikan media membantu membangunkan negara, bukan
sebaliknya.
Beliau berkata peringatan Sultan Nazrin Shah itu adalah tepat pada
masanya dan ia adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian oleh
kedua-dua media arus perdana dan alternatif.
Malah ada sesetengah pihak yang menyatakan media alternatif sudah mengambil alih peranan media arus perdana, kata menteri itu.
“Ini adalah benar di kebanyakan negara di dunia di mana majoriti
rakyatnya mendapat berita daripada media alternatif dan populariti media
cetak merudum ke tahap terendah,” kata Salleh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment