Sunday, January 10, 2016

PAS Tidak Tergugat Dengan Pemeteraian Perjanjian PH, Kata Hadi

SHAH ALAM : PAS tidak tergugat dengan pemeteraian kerjasama yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) semalam yang melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat perkara itu sebagai perkara biasa, malah yakin PAS terus kukuh meskipun bergerak bersendirian.

"Kita anggap itu perkara biasa, pakatan bukan baru. Ada Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan macam sejak 60 tahun wujud di Malaysia.

"Ada yang rebah ada yang mati. Kita terus bangun dan bangkit. PAS makin hari makin kuat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Ijtima' Pilihan Raya PAS Selangor.

Pimpinan utama Pakatan Harapan semalam secara rasminya menandatangani perjanjian yang mengikat kesatuan ketiga-tiga parti dalam gabungan berkenaan.

Ia ditandatangani wakil ketiga-tiga parti iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dan DAP diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Perjanjian tersebut merangkumi tujuh fasal utama, yang akan membentuk Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan.

Ia menyentuh perihal mengenai prinsip keputusan bersama; pembinaan kesatuan politik; penyelesaian pertikaian; dasar-dasar bersama; perjalanan pilihan raya; perjalanan kerajaan dan pembangkang dan keabsahan pakatan.

Sementara itu mengulas mengenai kerjasama dengan Umno, Hadi memegang kepada keputusan majlis syura ulama iaitu kerjasama ke arah kebaikan tetapi tiada gabungan daripada segi politik.

"Sama seperti keputusan majlis syura ulama, kerjasama dalam perkara yang baik, bukan perkara tak baik.

"Contohnya isu Palestin, Bosnia, Rohingya, TPPA kita tak kerjasama. Pilihan raya PAS bertanding," jelas beliau.

Malah parti juga tidak menghalang penyokong untuk menyokong mana-mana parti dengan syarat ke arah kebaikan.

"Itu adalah amalan demokrasi, boleh berlaku kepada mana-mana parti tak boleh mengikat penyokong-penyokong untuk menyokong mana-mana parti.

"Tun M pernah kalah dalam PRU 1969 di Kedah. Di Kelantan pun pernah menteri-menteri kalah, itu menunjukkan orang Umno boleh berubah.

"PAS memahami amalan demokrasi ini sebab itu kita minta ahli PAS bergerak mengikut landasan demokrasi yang betul untuk menarik rakyat dan bukan muliakan rakyat," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment