Sunday, January 10, 2016
TPPA : "Mustapa Mohamad Seorang Perunding Yang Hebat..." Kata Pakar Ekonomi
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberi klausa pilih keluar
dalam satu surat sampingan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA), kata Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Jayant Menon.
"Ini sebenarnya membolehkan Malaysia menarik diri daripada TPPA walaupun
tanpa cuba untuk meratifikasikannya di Parlimen. Tiada negara yang
terlibat TPPA lain boleh melakukannya.
"Bagaimana Malaysia mampu memperolehnya, saya tidak tahu tetapi, saya
fikir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed merupakan seorang perunding yang hebat," katanya pada Forum
Ekonomi ASEAN di Kuala Lumpur Jumaat.
Beliau berkata Malaysia mungkin negara paling berjaya dalam memperoleh
pengecualian dalam banyak aspek sensitif, termasuk perkara seperti
perolehan kerajaan, pembaharuan perusahaan negara atau syarikat
berkaitan kerajaan dan perlindungan dalam sesetengah bidang pembaharuan
harta intelek.
"Dengan begitu banyak pengecualian, kemungkinan tiada masalah untuk Malaysia menyertai TPPA akhirnya," katanya.
Bagaimanapun Jayant berpendapat, TPPA itu sendiri mungkin tidak menjadi
realiti jika ia tidak diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.
"Tiada jaminan ia akan direalisasikan. Republikan perlu disokong dalam
jumlah yang besar memandangkan Demokrat telah menentangnya.
"Politik memainkan peranan besar ketika ini. Tiada jaminan TPPA akan
mudah diluluskan Kongres. Kita hanya perlu tunggu dan lihat," katanya.
Jayant berucap sebagai anggota panel pada forum itu mengenai struktur
perdagangan serantau yang semakin berkembang dan reaksi pasaran
terhadapnya.
Mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), beliau bersetuju dengan Deklarasi
Kuala Lumpur yang menyatakan ia bukan satu destinasi namun satu
perjalanan, dan jangkaan yang adil terhadap penyempurnaan pelaksanaan
AEC sepatutnya pada 2025.
Beliau berkata berdasarkan kajian terbaru, lebih banyak aktiviti dan
program kesedaran mengenai AEC perlu dijalankan untuk meningkatkan
profilnya.
Mengenai tonggak keempat AEC iaitu penyepaduan ke dalam ekonomi global, Jayant berkata ia menjadi bidang kejayaan ASEAN.
"ASEAN mampu menggunakan fahaman serantau untuk benar-benar mempromosi globalisasi.
"ASEAN sentiasa membuka pintunya. Perdagangan dalam negara ASEAN kian
berkembang malah akan lebih berkembang dengan AEC," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment