Saturday, August 22, 2015

Ahli UMNO Mesti Bebaskan Diri Daripada Sogokan Pendapat – Khaled Nordin

KOTA TINGGI : Anggota UMNO mesti membebaskan diri daripada sogokan pandangan yang menjadikan mereka seolah-olah budak-budak yang diajar hanya menerima dan tidak mempersoalkan salah betul sesuatu perkara.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan satu bentuk diktator minda dalam amalan berfikir jika anggota UMNO menerima bulat-bulat pandangan dan maklumat secara paksaan dan sogokan.

“Menyogok-nyogok itu bukan budaya UMNO. Mengiya-iyakan secara membuta tuli itu juga bukan budaya UMNO.

Mengangguk-angguk dan menggeleng-geleng tanpa prinsip itu juga bukan budaya UMNO,” katanya berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Felda Lok Heng Timur, di sini hari ini.

Perasmian mesyuarat itu dilakukan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, jika menyogok juga adalah amalan UMNO maka adalah mustahil untuk Malaysia boleh merdeka, mampu keluar daripada pelbagai krisis tanpa perlu mengikut telunjuk orang luar dan maju dengan cara tersendiri selama ini.

“Ia juga tidak akan menjadikan kita matang, sekadar pak turut fikiran orang sejak kecil. Kita akan jadi hamba akal orang lain. Akal kita akan hanya sekadar hiasan,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan faktor itu, UMNO perlu mempunyai perubahan politik yang progresif dan kematangan demokrasi dalam menerima apa juga pandangan.

Menurutnya, perubahan itu termasuk mempunyai ciri, budaya dan amalan untuk membuka seluas-luasnya ruang bagi pencerahan, menghargai pandangan anggota, belajar dari yang terbaik dan bersedia untuk menegur dan ditegur.

“Hanya jika UMNO bersedia melakukan anjakan begini, maka UMNO melalui apa yang saya panggil “Dekad Pencerahan”.

Dekad yang bukan sekadar memberikan dinamisme baharu kepada UMNO tetapi lebih penting membina kembali kewibawaan UMNO sebagai sebuah parti yang progresif dan mendukung pemikiran Islam berkemajuan,” katanya.

Turut hadir pada perasmian itu Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Md Jais Sarday dan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi Datuk Daing A Malek Daing A Rahman.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment