22 Ogos 2015, Kuantan : Anggota UMNO diseru supaya bersatu bagi menggerakkan gelombang luar biasa dalam mempertahankan parti dan pemimpin daripada terus diserang pihak yang ingin menjatuhkan parti itu.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO sudah cukup matang menghadapi ujian sedemikian sejak ia ditubuhkan dan ia harus berani berdepan dengan cabaran dan dugaan yang dicipta oleh musuh-musuh parti.
Anggota UMNO perlu membulatkan tekad bagi mempertahankan parti dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, katanya.
“Kita harus tunjukkan bahawa ahli UMNO bersatu dan tidak mudah goyah. Macam mana nak berlawan jika kita tidak sepakat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mohamad.
Hishammuddin berkata UMNO memerlukan perubahan yang lebih konstruktif bagi menentukan survival dan perjuangan parti mempertahankan maruah bangsa Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.
“UMNO perlu merintis usaha untuk membawa pengislahan (perubahan) kepada parti sesuai dengan tuntutan semasa.
“Kalau kita gagal yang menjadi mangsa adalah umat Melayu dan Raja-raja Melayu kerana saat ini berlaku serangan secara sistematik terhadap tiang seri negara seperti Raja, pihak polis, tentera, peguam negara dan bank negara.
“Siapa lagi nak pertahan kalau bukan UMNO,” tegasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment