Sunday, August 02, 2015
Alhamdulilah....Saya Tetap Setia Kepada Umno, Tidak Akan Sertai Parti Lain - Muhyiddin
Alhamdulilah lah...bagi pendapat ramai pihak TMY bertandinglah nanti untuk calon Presiden.... Barulah UMNO dikatakan parti Demokrasi...bukanya suruh letak jawatan.
MUAR : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesetiaannya kepada Umno tetap
utuh dan sama sekali tidak akan meninggalkan parti keramat itu untuk
menyertai parti lain.
Sehubungan itu, timbalan presiden Umno memberi ingatan kepada parti lain
terutama pembangkang, agar tidak mengambil kesempatan untuk memujuknya
menyertai parti mereka kerana kesetiaannya kepada Umno sama sekali tidak
berbelah bahagi.
"Tak payah datanglah untuk memujuk saya (menyertai mana-mana parti) kerana itu semua tak layan.
"Saya 'totok (jati) setotok totoknya' (dalam perjuangan Umno) orang
Melayu yang berjiwa Umno dan saya sama sekali tidak akan pecah amanah
dalam perjuangan (Umno)," katanya ketika berucap selepas menunaikan
solat Jumaat di Masjid Jamek Panchor di sini, Jumaat.
Sebelum itu Muhyiddin turut menyertai hampir 1,000 jemaah melakukan
solat hajat dan tahlil di masjid itu.Ucapan lebih 40 minit itu adalah
yang pertama oleh Muhyiddin selepas beliau digugurkan daripada senarai
Kabinet terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak pada Selasa lepas, dan digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kepulangan Muhyiddin ke Parlimen Pagoh yang juga pertama kali selepas
rombakan Kabinet itu sangat dinanti-nantikan oleh penyokong dan pengundi
beliau yang ingin mengetahui hala tuju perjuangannya selepas ini.
Anggota Parlimen Pagoh itu berkata beliau masih mempunyai tugas besar
untuk perjuangan bangsa, agama dan negara kerana masih mempunyai jawatan
sebagai timbalan presiden Umno.
"Saya masih ada tugas. Saya masih timbalan presiden Umno dan timbalan
pengerusi Barisan Nasional (BN). Ini amanah saya untuk bantu presiden
Umno. Apa yang dilakukan untuk memajukan negara dan mahu rakyat terus
menyokong parti demi agama dan negara," katanya.
Beliau berkata tugas dan amanah itu perlu digalas dengan baik tanpa
mengira siapa pun yang menjadi presiden Umno."Timbalan presiden Umno
adalah untuk bantu presiden Umno, tidak kira siapa perdana menteri
termasuk Najib. Saya kena bantu bekerja dan bantu Majlis Tertinggi
kerana keadaan (politik) hari ini tidak seperti dahulu.
"Saya takut dengan keadaan hari ini jika tidak ada langkah tegas untuk
menanganinya rakyat tidak akan percaya dengan kita lagi," kata
Muhyiddin.
Sehubungan itu, katanya, beliau berhak untuk pergi ke mana-mana bahagian
Umno untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian kerana itu adalah
sebahagian tugasnya sebagai timbalan presiden Umno.
Kepada penduduk di Parlimen Pagoh, Muhyiddin juga memberi jaminan
perancangan besarnya untuk merealisasikan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh
akan terlaksana juga walaupun beliau bukan lagi menteri pendidikan.
"Ini projek untuk rakyat dan bukannya projek peribadi dan saya berharap menteri berkenaan meneruskan projek ini," katanya.
Kata Muhyiddin lagi, sepanjang kariernya sebagai wakil rakyat di
bahagian Pagoh selama 37 tahun, beliau telah melakukan tugas sebaik
mungkin untuk memajukan kawasan itu.
"Yang penting rakyat boleh menilai apa yang saya buat selama ini," katanya.
Beliau kemudian mengulangi kenyataannya yang menerima dengan baik apa
yang telah ditakdirkan terhadap dirinya kerana beliau yakin ada rahmat
di sebalik penggugurannya daripada Kabinet itu.
Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemimpin Umno bahagian itu di Kompleks Seri Pekembar di sini.
Beliau turut melambai tangan kepada jurugambar yang hadir untuk
merakamkan kehadirannya bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul
Rahman.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment