Wednesday, August 19, 2015
Anggota UMNO Jangan Leka Layan Dakyah Tentang Komplot Gulingkan Kerajaan – Razali
19 Ogos 2015, Rompin : Anggota UMNO digesa agar tidak leka melayan dan
percaya dengan dakyah kononnya 20 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN)
terlibat dalam komplot menggulingkan kerajaan seperti tersebar dalam
media sosial.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata ia
merupakan satu pembohongan, berniat jahat dan sengaja dicetuskan untuk
memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan di dalam parti.
“Ini pembohongan, satu cubaan untuk wujudkan rasa sangsi yang
akhirnya menyebabkan kita bergaduh sesama sendiri. Soalnya, siapa yang
buat perkara itu, tiada sesiapa yang boleh beri jawapan dan kenapa pula
kita nak layan?,” katanya.
Beliau mengulas mengenai namanya yang dikaitkan antara salah seorang
daripada 20 anggota Parlimen BN yang kononnya terlibat dalam komplot
menggulingkan kerajaan.
Razali berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian
Pameran Kerjaya Berasaskan Sektor (SFCF) di Universiti Tenaga Nasional
(Uniten) kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Muadzam Shah di sini
hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor Uniten Prof Dr Kamal
Nasharuddin Mustapha dan anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin.
Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata
walaupun merasakan lucu kerana namanya dikaitkan dalam komplot itu,
beliau tetap memandang serius tentang perkara itu.
“Wallahi Wabillahi Watallahi…saya tidak tahu pun perkara ini…itu
penipuan media sosial dan saya langsung tidak tahu menahu dan terlibat,”
katanya.
Razali berkata beliau memilih untuk tidak membuat laporan polis
kerana merasakan perkara itu tidak perlu dilayan selain bertentangan
dengan prinsip undang-undang itu sendiri.
“Kita boleh ambil ini sebagai maklumat tetapi tidak boleh anggap ia
sebagai satu perkara yang sahih sehingga disahihkan. Tetapi hari ini
orang menganggap perkara itu betul sehingga dinafikan.
“Dalam undang-undang, yang menuduhlah kena buktikan saya terlibat, kenapa pula saya perlu menjawab,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment