Monday, August 24, 2015

Baru Pandai Bersuara !!!! Harapan Dan Persoalan Baru Yang Menyongsong GHB

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau hanya meninggalkan perjuangan menurut acuan PAS tetapi bukan meninggalkan ajaran Islam.

Sekaligus beliau mengisyaratkan bahawa tidak berjuang dalam jemaah PAS bukan bererti tidak melaksanakan tuntutan Islam. Justeru tidak timbul persoalan beliau mengkhianati PAS dan apatah lagi Islam.

Kenyataan ini benar-benar memberi harapan baru kepada golongan Muslim-Melayu yang selama ini khuatir hendak memilih parti politik selain PAS kerana bimbang dengan momok bahawa hanya PAS pemegang mohor perjuangan Islam.

Kenyataan Dr Mariah yang meletak jawatan sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Raja itu sedikit sebanyak meleraikan simpulan pemikiran di kalangan beberapa generasi Melayu akan mitos berkenaan.
Sebelum ini ramai cerdik pandai Melayu yang berpotensi memimpin ummah memilih ‘sikap berkecuali’ dalam menentukan pegangan politik mereka kerana tidak mahu “menyinggung dan menyanggah ajaran Islam”.

Di samping itu ramai juga dari golongan yang berfikiran pragmatik ini dan mahu melihat Melayu-Islam maju dalam pelbagai bidang kehidupan agak ragu mendampingi politik selain PAS kerana bimbang dicap tidak Islami.

Namun huraian Dr Mariah ini pasti melegakan generasi Islam hari ini bahawa dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat, aliran perjuangan PAS bukanlah satu-satunya wadah yang boleh diikuti.

Justeru ia pasti meredakan kebimbangan bahawa jika tidak berjuang untuk Islam dalam kerangka politik PAS, kelak ia akan menjejas, menggugat dan mungkin mencacatkan akidah mereka.

Kemunculan Gerakan Harapan Baru yang diketuai mantan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mahu menaja penubuhan parti politik Islam – Parti Amanah -- memang amat dinanti oleh golongan berjiwa Islam ini.

Kini persoalan mengenai apa itu kepentingan dan keutamaan Islam dalam soal bidang kesihatan, ekonomi, pendidikan, alam sekitar, sosial dan politik  atau aturan maqasid syariah adalah lebih jelas dan terang.

Bahawasanya, Islam boleh ditegakkan dari banyak dan pelbagai dimensi kehidupan.

GHB tetap perjuangkan Islam

Lantas, adalah menarik diperhatikan apakah pula sikap Dr Mariah dan rakan-rakannya dalam GHB terhadap sumbangan Umno yang turut mendakwa berjuang untuk Islam?

Memerhatikan hujah GHB dalam kempen-kempen penerangannya, adalah jelas bahawa gerakan itu tidak menganggap ia satu pengkhianatan terhadap PAS dan Islam itu sendiri kerana masih ada banyak suhuf dan cara memperjuangkan Islam.

Rasional mereka ialah gerakan yang mereka taja ialah penterjemahan satu fikrah tentang apakah metodologi terbaik untuk mempamer dan mengajak masyarakat menghayati bagaimana santun dan menyeluruhnya ajaran Islam itu.

Maka memang tepatlah jika Dr Mariah dan rakan-rakan seperjuangannya menamakan aktiviti mereka sebagai Gerakan Harapan Baru kerana ia menjanjikan harapan untuk menggilap pemahaman dan pelaksanaan Islam syumul.

Pertama sekali, hati-hati yang terjentik oleh wawasan GHB itu sudah tentulah penganjur parti baru itu.  Kini mereka sudah mampu mengumpul kekuatan dan keberanian untuk mengatakan perjuangan Islam adalah sesuatu yang rencam.
Lebih utama lagi mereka sudah bebas dari rantai taksub yang menjerat mereka sejak beberapa tahun lalu bahawa hanya pendekatan PAS sahaja sahih dan ‘halal’ dalam  memperjuangkan Islam.

Harapannya ialah biarlah GHB atau Parti Amanah dapat mengikis sikap prejudis terhadap sumbangan legitimasi pihak lain juga turut mencergaskan usaha dakwa menurut kemampuan, ruang lingkup kepercayaan dan waqi’ atau realiti semasa.

Sekaligus GHB menawarkan harapan baru kepada rakyat amnya bahawa kehebatan mesej Allah ini akan dapat disuluh dari banyak dimensi dan pertimbangan berpolitik bukan hanya kerana “kita berjuang untuk Islam, kita mesti berada di pihak yang benar!”

Cuma yang menjadi persoalan ialah, kebanyakan yang menggerakkan aktiviti GHB ini bukanlah muka-muka baru. Jadi apakah jaminannya bahawa mereka tidak akan ‘menghukum’ pihak pejuang Islam lain sebagai “salah, silap, tersasar dan tidak relevan”?

Pemimpin seperti Mohamad Sabu, Datuk Kamaruddin Jaafar, Salahuddin Ayob, Dr Mariah Mahmud dan Dr Hatta Ramli bukanlah pejuang baru dalam PAS. Berpuluh tahun mereka bernaung di bawah panji perjuangan parti itu.

Ada di kalangan mereka hinggap pada perjuangan PAS apabila dahan tempat mereka bernaung dalam parti Umno kerana mengekori Datuk Seri Anwar Ibrahim dipatahkan oleh presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Ramai penaja GHB ini juga adalah penyokong tegar Anwar Ibrahim sejak beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan kemudian berpusu menyertai Umno apabila Anwar bertekad ‘mengubah Umno dari dalam’ pada 1981.

Pemimpin GHB gagal pengaruh pimpinan PAS

Sepanjang tempoh bernaung di bawah PAS, golongan ini benar-benar telah berusaha untuk melunakkan pemikiran politik pimpinan PAS agar lebih terbuka dan bersikap inklusif.

Di beberapa segi mereka berjaya ‘melentur’ pemikiran dan pendekatan politik pimpinan PAS. Sejak 2008 PAS mula ramah dengan slogan ‘PAS for All’ dan kemudian bertemakan perjuangan mewujudkan Negara Berkebajikan.

Namun entah kerana terlalu ‘letih’ dengan kerja ‘memujuk’ pimpinan PAS supaya lebih terbuka, atau menghidu peluang untuk terus mengambil alih pimpinan PAS keseluruhannya, maka berlakulah semacam ‘pemberontakan’ dalam pemilihan muktamar PAS Jun lalu.

Golongan yang berasa jenuh “memujuk” PAS melakukan pembugaran pendekatan dakwah akhirnya mengambil keputusan mencabar terus kepimpinan ulama PAS yang dianggap ‘tidak lagi relevan’ dan kadangkala ‘tersasar daripada ajaran Islam’.

Maka pertanyaan rakyat terhadap GHB yang bakal mekar menjadi Parti Amanah ini ialah, apakah jaminannya mereka benar-benar akan peduli perjuangan baru ini akan berjaya jika percubaan mereka sejak sekian lama hanya menghasilkan lebih banyak perpecahan di kalangan ummah?

Kelahiran Parti Amanah kelak akan mengkotakkan Melayu-Islam menjadi empat entiti politik utama --  Umno, PAS, PKR dan Amanah. Ini belum mengambil kira bibit pemikiran di kalangan sesetengah cendekiawan Melayu yang kini menganggap DAP juga boleh menjadi tapak perjuangan Islam yang efektif.

Tidakkah ini akan terus mempersempitkan lagi ruang dan kuasa ‘tawar-menawar’ politik Melayu bila berhadapan dengan parti bukan Islam lain seperti DAP, PBS dan lain-lainnya?

GHB juga seharusnya mengambil peduli  harapan baru rakyt – janganlah ‘keterbukaan’ yang mereka canangkan itu menyempit dan meracik pula masa depan perpaduan ummah.

Kewujudan GHB dan kemudian Parti Amanah sendiri sudah tentu mengundang silang pendapat dan permusuhan yang kekal dengan PAS; sekurang-kurangnya.

Buat masa ini GHB mendakwa bahawa mewujudkan satu tata-urus negara yang baik (good governance) adalah lebih utama daripada menjadikan pelaksanaan hukum hudud satu keutamaan dalam maqasid syariah mereka.

Masalahnya bilakah masa yang sesuai untuk benar-benar memperjuangkan dan melaksanakan hukum Allah itu? Mungkin lantaran sifat kasih sayang dan rahmatNya, Allah bisa menanti perintahNya benar-benar ditaati GHB.

Namun persoalannya sampai bilakah pula DAP akan dapat ‘bersabar’ dan ‘bermanis muka’ dengan GHB yang tidak pula mahu mengikis terus hudud sebagai salah satu agenda dan dasar perjuangannya?

Adakah lafaz mahu melaksanakan hudud hanya satu retorik politik GHB? Atau, adakah toleransi DAP buat masa ini hanya sekadar mahu GHB menjadi teman sementara untuk menambat hati Melayu-Islam dan membuktikan ia sebenarnya bukan fobia terhadap agama mereka? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment