Utusan
Wednesday, August 26, 2015
BERSIH 4 : Bukan Lagi Masa Untuk Berkompromi
Kementerian
Dalam Negeri (KDN) sudah mengesahkan Bersih 4.0 bukanlah sebuah
pertubuhan berdaftar, pihak polis pula mengisytiharkan perhimpunan
kelompok itu yang dirancang pada Sabtu ini adalah perhimpunan haram.
Apabila sudah diisytiharkan pertubuhan haram dan perhimpunan haram
maka sudah pastilah ia menyalahi undang-undang, maka puak-puak yang
bersedia turun ke jalanan sehingga boleh mencetuskan huru-hara di
tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur adalah manusia tidak
bertanggungjawab.
Mereka bukannya tidak diberi ruang untuk berhimpun. Apa yang perlu
dilakukan hanya mematuhi segala peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman
2012, tetapi malangnya kumpulan yang turut disertai oleh golongan bijak
pandai dalam undang-undang itu tidak menghiraukan perkara tersebut.
Sebab itulah, apabila polis memberi jaminan akan membantu penganjur
perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan
mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium ia tidak
begitu digemari oleh penganjur pertubuhan dan perhimpunan haram
tersebut.
Matlamat mereka ialah mengadakan demonstrasi jalanan walaupun
memahami ketika itu sambutan Hari Kebangsaan 2015 sedang rancak
diadakan. Mereka mahu mengambil kesempatan daripada kehadiran ribuan
orang pada sambutan itu untuk menunjukkan kononnya kegiatan haram mereka
dapat sambutan.
Dengan kesediaan yang diberikan oleh polis untuk menghulurkan
bantuan, kita boleh mempersoalkan apakah motif sebenar perhimpunan itu
hendak diadakan. Usah bercakap soal menuntut pilihan raya bersih kerana
kalau pilihan raya tidak bersih, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan
tidak akan berada dalam genggaman pembangkang. Begitu juga di Parlimen,
Barisan Nasional (BN) terus hilang majoriti dua pertiga.
Oleh itu, pihak polis jangan beri muka kepada Bersih 4.0. Kalau
puak-puak yang degil itu bersedia untuk melanggar undang-undang maka
mereka juga perlu bersedia menghadapi risikonya. Yang akan turun ke
jalanan menyertai perhimpunan haram itu tidak seramai mana jika
dibandingkan dengan jutaan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Yang
akan terpekik terlolong bersama Bersih tidak seramai mana jika
dibandingkan ribuan lagi orang ramai yang ingin menyambut kemerdekaan di
Dataran Merdeka.
Justeru bertindak tegaslah terhadap kelompok yang mencabuli
undang-undang. Mereka bukanlah kelompok yang layak diajak berunding
kerana sejak awal lagi kecenderungan mereka ialah mahu mencetuskan
ketegangan di Kuala Lumpur.
Kalau mereka tidak mempunyai hasrat sedemikian, apa salahnya mereka
mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012. Jika berasa hebat sangat
dengan sambutan yang akan terima, buat sahaja di dalam stadium.
Terpekik terlolong dalam stadium, berkumpullah seramai mana yang
diinginkan dan tinggallah di situ selagi mana ada kudrat.
Tetapi setakat ini adalah jelas penganjur tidak berminat untuk
mengadakan perhimpunan aman. Matlamat mereka sebenarnya mahu mencemarkan
imej negara. Apabila polis bertindak, ia akan mendapati liputan di
seluruh dunia. Imej Malaysia akan menjadi buruk, maka tercapai impian
songsang mereka.
Bagaimanapun polis tidak perlu berasa gentar atau bimbang dalam soal
menegakkan undang-undang. Jalankan amanah yang diberikan bagi menjaga
keamanan. Jangan bertolak ansur dengan puak-puak yang sengaja tidak mahu
mematuhi undang-undang tersebut.
Usah bimbang dengan hujah-hujah kononnya tindakan tegas polis
mencabuli hak asasi manusia dan menghalang kebebasan bersuara. Sebelum
mana-mana pihak membuat tuduhan tersebut, fikirkan apakah puak-puak
dalam Bersih 4.0 telah menghormati kedua-dua prinsip itu.
Apakah hak asasi mereka sahaja yang harus diambil kira? Bagaimana
dengan hak asasi orang ramai yang sepatutnya bergembira menyambut hari
kebangsaan? Bagaimana dengan penjaja dan peniaga yang akan terjejas
perniagaan mereka akibat demonstrasi jalanan?
Bagaimana dengan pelancong
asing yang datang ke negara ini untuk menikmati keindahan Kuala Lumpur?
Soal hak asasi siapa yang harus diutamakan? Puak yang sengaja melanggar
undang-undang atau kumpulan yang mencintai keamanan dan kedamaian?
Seperkara lagi yang akan turut menjadi perhatian kita, kelompok
manakah yang paling ramai akan turun ke jalanan. Acapkali setiap kali
perhimpunan haram seumpama itu, orang Melayulah paling ramai. Kononnya
atas nama perjuangan (ada juga yang membuta tuli menganggap ia jihad)
mereka membawa kanak-kanak waima bayi sekalipun untuk turut serta.
Perbuatan itu mendedahkan kanak-kanak dan bayi tersebut dalam bahaya.
Peringatan sudah diberikan apa yang mereka lakukan melanggar
undang-undang, tetapi ia tetap berulang apabila puak-puak tidak
bertamadun ini turun ke jalanan.
Justeru kali ini diharapkan pihak berkuasa tidak lagi sekadar memberi
amaran. Ibu bapa yang kononnya mahu menjadi pejuang itu harus dikenakan
hukuman akibat ‘keberanian’ mereka mengheret anak mereka menyertai
perhimpunan.
Begitu juga gadis-gadis yang bertudung labuh dan berpurdah.
Janganlah cemarkan Islam dengan mengaku kononnya golongan muslimah
tetapi terpekik terlolong atau bergaul tanpa batas di jalanan.
Tindakan tegas juga harus dikenakan kepada golongan mahasiswa yang
‘masih berhingus’ untuk mencampuri urusan politik. Mereka sepatutnya
menumpukan perhatian kepada pelajaran dan bukannya menyertai
demonstrasi haram. Jika berdegil juga mahu berbuat demikian, maka
tinggalkan sahaja institusi pengajian tinggi masing-masing. Beri laluan
kepada ramai lagi pelajar yang tidak mendapat tempat di universiti
mengisi tempat mereka.
Pihak universiti perlu bertegas dalam soal ini
memandangkan puak-puak pelajar seumpama ini amat jahil untuk mengenal
erti ‘sekadar amaran’.
Namun begitu kita yakin, katakanlah apa pun, ia sudah pasti tidak
akan memberi kesan kepada puak-puak yang fikiran mereka sudah
diselubungi dengan politik kebencian. Jika mereka bijak berpolitik dan
tahu menggunakan hak mereka dalam sebuah negara demokrasi sudah pasti
demonstrasi jalanan bukanlah tempat mereka melepaskan perasaan,
sebaliknya mereka akan menyertai perhimpunan yang mengikut lunas
undang-undang.
Diharapkan dalam berhadapan dengan demonstrasi haram berkenaan,
pihak berkuasa di agensi dan kementerian tidak lagi bertolak ansur. Kita
sudah bosan dan muak dengan istilah ‘Bersih’. Istilah itu sepatutnya
terpakai kepada satu tindakan yang benar-benar bersih dan bukannya
dipenuhi dengan ‘kekotoran, kemungkaran dan perlanggaran undang-undang.
Zulkiflee Bakar
Utusan
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment