Thursday, August 20, 2015
Dedah Segera Dalang Gerakan Guling Kerajaan
20 Ogos 2015, Segamat : Pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi mengenai gerakan untuk mengguling kerajaan oleh
pembangkang dan turut didalangi Ahli Parlimen Kerajaan Barisan Nasional
baru-baru ini satu perkara yang sangat serius dan perlu ditangani dengan
segera.
Sehubungan dengan itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien
Onn mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera mendedahkan gerakan
ini termasuk menyenaraikan nama ahli parlimen khususnya dari BN yang
terlibat dalam komplot tersebut.
“Pendedahan ini penting bertujuan untuk membolehkan kami menjauhkan
diri daripada mereka supaya tidak terpengaruh dengan anasir membelot
kerajaan.
“Tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan sedia ada juga
perlu diambil kepada mereka ini bagi menjaga kerajaan yang dipilih
secara demokrasi oleh rakyat Malaysia.
“Selain itu pendedahan juga perlu bagi mengelak pihak yang tidak
bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan memainkan isu ini dan terus
mengelirukan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, tambah beliau Pemuda UMNO Segamat turut
menyelar tindakan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab menyebar
nama berserta gambar dua puluh orang Ahli Parlimen BN yang didakwa
menjadi dalang di alam maya baru-baru.
Ia semakin mengeruhkan keadaan sehingga Majlis Ahli Parlimen Barisan
Nasional (BNBBC) menafikan dakwaan ahlinya terlibat dalam komplot
menggulingkan kerajaan dan menjelaskan kesemua ahlinya memberi sokongan
kepada kerajaan dan parti memerintah, katanya.
“Sehubungan dengan itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang
menyebarkan dakwaan komplot itu kerana ia jelas menjatuhkan reputasi
Ahli Parlimen yang tidak bersalah.
“Justeru itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat berpendapat
bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tindakan
sewajarnya dengan mendedahkan dalang gerakan untuk mengguling kerajaan
secepat mungkin,” tambahnya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment