Monday, August 24, 2015

DEIG Ada Kaitan Persiapan PRU-14?

Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) didakwa mempunyai kaitan dengan persiapan pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, syarikat tersebut juga mungkin diwujudkan bagi mengelakkan mekanisme sekat dan imbang dalam enakmen-enakmen berkaitan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serta Jawatankuasa Pi­lih­an Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Tidak mungkin kerana pengurusan yang lebih cekap dan proses membuat keputusan yang lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sidang DUN Selangor Rabu lalu menjadi ‘panas’ apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat 1965 yang sekali gus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Pada hari yang sama, sebuah portal be­­ri­­ta mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Sela­ngor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.

Menurut portal tersebut, pe­gangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI Se­langor.

Mohd. Hafarizam menambah, seperti syarikat swasta lain, DEIG mesti menyerahkan akaun yang diaudit dan membayar cukai kepada pihak berkuasa berkaitan.

Menurut beliau, DEIG adalah berbeza dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu diaudit oleh Ketua Audit Negara dan melapor kepada Kementerian Kewangan.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment