Saturday, August 22, 2015

DEIG – Aset RM30B Boleh ‘Lebur’ Bila-Bila Masa

Tindakan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memindahkan aset dalam Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai RM30 bi­lion kepada dua individu yang merupakan pemegang saham Darul Ehsan Investment Group (DEIG) boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.
 
Peguam, Kamarudin Ahmad mendakwa, segala aset milik rakyat itu juga boleh ‘lebur’ pada bila-bila masa disebabkan pentadbiran dan pengurusan DEIG begitu terdedah kepada kecuaian.
“Andaikata salah seorang daripada individu terbabit meninggal dunia dan keluarganya datang membuat tuntutan, maka kerajaan negeri akan hilang separuh daripada aset itu.
“Itu aset rakyat Selangor. Kini aset bernilai RM30 bilion itu terdedah kepada kecuaian,” dakwa beliau ketika sesi soal jawab dalam program Penerangan Khas Isu DEIG bertajuk ‘Kebimbangan Kita’ anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor, di sini malam tadi.
Kelmarin, sebuah portal berita mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 dalam DEIG dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Afffendi Aminuddin.
Menurut portal tersebut, pega­ngan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI.
Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment