Thursday, August 20, 2015
DEIG Didakwa Tidak Telus, Mudah Diseleweng
Langkah
Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG)
untuk menstruktur pelaburan 12 entiti di bawah Pemerbadanan Menteri
Besar (MBI) dipersoalkan kerana didakwa tidak mempunyai ketelusan dan
terdedah kepada risiko penyelewengan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, terma
pinjaman DEIG sangat ‘pelik’ dan mengelirukan selain syarikat berkenaan
bebas daripada diaudit apabila boleh membuat pinjaman pelaburan tanpa
perlu melaporkan laporan kewangannya kepada kerajaan atau di Dewan
Undangan Negeri (DUN).
Menyifatkan penubuhan DEIG sebagai ‘ada udang di sebalik batu’
Irmohizam turut meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali
mendedahkan nama dua individu yang menjadi pemegang saham DEIG dan bebas
menguruskan aset milik rakyat Selangor itu.
“DEIG dalam konteks ini diberi kuasa mutlak yang boleh menguruskan
semua anak syarikat di bawah MBI tanpa ada semak dan imbang yang
seterusnya dapat menyebabkan masalah ketelusan dan akauntabiliti.
“Saya juga khuatir DIEG ini adalah cubaan untuk dijadikan sebagai
saluran mendapatkan sumbangan politik, maka sengaja ditetapkan supaya
tiada mekanisme audit yang sewajarnya untuk melakukan audit syarikat
berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kekecohan dalam sesi perbahasan Sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam apabila bekas Menteri Besar, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan negeri
mewujudkan DEIG bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikatnya.
Abdul Khalid mempertikaikan kewujudan DEIG yang didakwa ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN.
Mengulas lanjut, Irmohizam turut mempersoalkan apa rasionalnya DEIG
perlu didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
untuk menstruktur anak-anak syarikat kerajaan negeri sedangkan perkara
itu boleh dilakukan MBI.
Tambahnya, satu undang-undang perlu ada untuk mengawal DEIG kerana
syarikat berkenaan akan mengawal operasi dan mengurus aset rakyat
Selangor yang bernilai RM6.3 bilion.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu menyiasat akaun syarikat itu
kerana penubuhannya menimbulkan pelbagai persoalan dan pertuduhan
serius.
“Jika Menteri Besar tidak setuju dengan cadangan yang diberikan oleh
semua pihak dan terus mempertahankan pendiriannya berkaitan penubuhan
entiti ini, maka sudah pasti ‘ada udang di sebalik batu’ yang rakyat
sendiri akan dapat menilainya,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment