Thursday, August 20, 2015
Dr Siti Mariah Letak Jawatan Naib YDP PAS Kota Raja... Sanggup Menjadi Sekutu DAP?
Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud meletak jawatan sebagai
Naib Yang Dipertua PAS kawasan itu berkuatkuasa serta-merta bagi
menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baharu
(GHB) hujung bulan ini.
Turut sama meletak jawatan ialah 183 pemegang jawatan dari pelbagai
peringkat termasuk Yang Dipertua kawasan itu Jaafar Samsudin dan
sembilan ketua cawangan dalam PAS kawasan berkenaan.
Dr Siti Mariah berkata keputusan itu dibuat bagi menyahut seruan
pemimpin tertinggi parti supaya anggota yang ingin menyertai wadah
baharu iaitu GHB melepaskan jawatan mereka.
"Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira pendekatan politik berbeza
PAS pada masa ini yang tidak menunjukkan sebarang langkah perdamaian
dengan rakan DAP," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Klang,
Rabu.
Beliau berkata PAS tidak menguruskan isu hudud dengan betul sehingga menyebabkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Mengenai status keanggotaannya dalam PAS, Dr Siti Mariah berkata ia akan
tamat secara automatik selepas beliau menyertai GHB kelak yang dilihat
sebagai satu wadah terbuka, inklusif serta berupaya menyatukan rakyat
Malaysia.
Beliau turut menegaskan PAS kawasan Kota Raja tidak terbubar
memandangkan beliau dan rakan-rakan lain yang meletak jawatan hari ini
akan menyerahkan tugas masing-masing kepada baki 11 Anggota Jawatankuasa
PAS kawasan malam ini.
Dalam sidang akhbar yang sama, AJK kawasan PAS Klang, Abdul Rashid Osman
berkata seramai tiga AJK termasuk beliau meletak jawatan bagi menyertai
GHB.
Turut mengikut jejak langkah itu adalah tiga AJK kawasan PAS Kapar.
Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata
pentadbiran PAS Selangor tidak terjejas berikutan peletakan jawatan
secara beramai-ramai dalam PAS kawasan Kota Raja.
Katanya, PAS Selangor telah mengambil alih pentadbiran PAS kawasan
mengikut perlembagaan parti dan akan mengisi kekosongan yang ada.
"Kita dapati hanya segelintir kecil saja ahli PAS di peringkat kawasan
dan cawangan yang terlibat bersama GHB, yang selebihnya kita dapati
mereka yang bukan ahli PAS kita," katanya dalam satu kenyataan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment