Tuesday, August 25, 2015
Formula 5K, Jangan Alpa Matlamat Utama Parti – Pemuda UMNO Selangor
KUALA LUMPUR : Tokoh falsafah Islam, Ibnu Khaldun di dalam
karangannya Al-Muqaddimah menyatakan bahawa jatuhnya sesuatu tamadun
adalah berkait rapat dengan kehilangan matlamat utama, ujar Ketua
Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Muhamad Nazri Mohd
Amin.
Justeru itu beliau berpandangan di dalam mengharungi senario politik
yang semakin hebat kini, setiap ahli perlulah kembali kepada dasar parti
sebagaimana yang terkandung di dalam perlembagaan yang telah menetapkan
bahawa matlamat utama UMNO adalah untuk mempertahankan agama, bangsa
dan negara.
“Kerana itu apa yang Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak nyatakan
mengenai formula ‘5K’ itu perlu dihayati dan diamalkan oleh semua ahli
supaya kelangsungan parti keramat ini tetap gah di dalam memberi khidmat
terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita.
Presiden parti berkata demikian ketika merasmikan persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus pada hujung minggu lalu, yang turut
dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus.
Formula ‘5K’ yang digariskan Presiden UMNO adalah merujuk kepada
‘khianat’ iaitu jangan mengkhianati parti, ‘kapal’ iaitu jangan menebuk
kapal sendiri (UMNO), ‘kerja kuat’ di mana bergerak sebagai satu
pasukan, ‘kerjasama erat’ antara kerajaan pusat dan negeri manakala
‘kompetensi’ merujuk kepada kebolehan dan kemahiran ahli terutama calon
parti.
“Bukan baharu Perdana Menteri membicakan perkara sedemikian, sebelum
inipun di dalam Perhimpunan Agung UMNO beliau pernah menekan mengenai
pentingnya semangat solidariti.
“Tinggal lagi bagaimana kita semua menghayatinya dan menerapkannya di dalam diri kita.
“Sebab itu apa yang penting kini, kita perlu fokus kepada matlamat
kita, iaitu bergerak sebagai satu pasukan dengan merapatkan barisan dan
memperkukuhkan jentera,” tambahnya lagi.
Walaupun begitu, menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian
Selayang itu lagi, kesemua itu tidak bermakna jika tidak mengambil berat
akan perkara berkaitan mobilisasi, iaitu gerak kerja yang harus
dilaksanakan secara tersusun dan sistematik bagi memastikan pilihan raya
umum akan datang tetap menjadi milik Barisan Nasional (BN).
“Sehubungan itu, saya berpendapat generasi muda perlu sentiasa
mengadaptasi segala perkembangan ilmu-ilmu baharu yang ada agar dapat
disesuaikan dengan keadaan semasa.
“Tambahan pula, kini kita berdepan dengan era politik persepsi, perlu
memeranginya, perlu diurus dengan baik kerana ia memberi kesan kepada
kestabilan politik,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kejayaan tidak hadir dengan sendirinya kerana
ianya perlu dicipta dan hanya dengan tekad, kekuatan semangat serta
gerak kerja tanpa mengenal putus asa mampu merealisasikan segala
matlamat menjadi nyata.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment