Monday, August 03, 2015

Gabungan Anak Muda Pembangkang Dakwa Polis Malaysia melampau.

Gabungan Anak Muda Demi Malaysia sekeras-kerasnya mengecam tindakan polis yang disifatkan melampau apabila menangkap 29 peserta perhimpunan #TangkapNajib di pusat beli-belah Sogo di ibu negara hari ini.

Jurucakapnya, Tarmizi Anuwar, 26 berkata tindakan polis itu bercanggah dengan hak untuk berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang undang- undang yang bercanggah dengan peruntukan ini terbatal secara automatik.

“Notis 10 hari yang diwar-warkan oleh polis adalah tidak sah dari segi undang-undang berikutan kes Timbalan Pendakwa Raya melawan Nik Nazmi,” katanya pada sidang media di Lokap Berpusat Balai Polis Jinjang di sini.

Tambah Tarmizi,  pihak polis juga telah berjanji semalam bahawa peserta berhak dan dibenarkan berkumpul dengan syarat tiada perarakan dibuat.

Bagaimanapun, katanya, pada perhimpunan yang dibuat petang tadi, 29 peserta dalam lingkungan 14 sehingga 69 tahun ditahan dengan keras.

“Kesemua 23 lelaki dan enam perempuan akan disiasat bawah Seksyen 143 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan kami ingin menegaskan bahawa perhimpunan #TangkapNajib adalah sah di sisi undang-undang.

“Sepatutnya perhimpunan kali ini dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi Timbalan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri yang berkuasa atas pihak polis,” ujarnya.

Sementara itu, kira-kira 50 orang berhimpun di luar kawasan lokap sebagai tanda sokongan kepada 29 tahanan yang ditahan.

Mereka turut mengadakan ‘candle light vigil’ sambil melaungkan slogan membebaskan semua tahanan tersebut. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment