Saturday, August 15, 2015

Gambar.... Himpunan PKR Desak Najib Berundur Hambar

PANDAN INDAH : Program Solat Hajat dan Himpunan rakyat yang dianjurkan oleh PKR di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya tidak mendapat sambutan.

Program dua dalam satu itu hanya berjaya mengumpul kira-kira 200 oang tempatan walaupun difahamkan padang tersebut boleh memuatkan hingga kira-kira 3,000 orang.

Tinjauan Antarapos mendapati program tersebut yang melemparkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri dilihat hambar, walaupun isu-isu yang dibangkitkan oleh barisan penceramah sedang panas dibicarakan oleh rakyat Malaysia.

Antara barisan penceramah yang hadir adalah Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahman, pemimpin G-18, Dr. Dzulkefly Ahmad, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Masing-masing dilihat cuba memainkan peranan memburuk-burukkan kerajaan dengan isu 1Malaysia Development Berhad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan wang transaksi bernilai RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilihat cuba merayu simpati daripada rakyat untuk menyingkirkan Perdana Menteri setelah beliau mendakwa Najib gagal membersihkan namanya daripada skandal RM2.6 bilion.

"Saya hendak simpulkan begini, setiap satu hari Najib terus kekal di Putrajaya, akan terus berlaku satu lagi kerosakan demi kerosakan demi kerosakan.

"Kita sepatutnya tidak boleh tahan dan jangan biarkan Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri walaupun untuk satu hari," katanya ketika menyampai ucapan tersebut. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment