Monday, August 03, 2015
Hadi Awang Tak Setuju Tukar Perdana Menteri
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan masalah sama tetap
akan berulang dalam pemerintahan negara meskipun pemimpinnya ditukar
jika corak pemerintahannya tidak berlandaskan Islam.
Menurutnya, di negara ini apabila pemimpin negara menimbulkan masalah
mereka akan ditukar namun penyelewengan sama tetap berlaku selepas itu.
“Sudah banyak masalah yang kita alami sebelum ini tapi memang kita ini
betul ‘Melayu mudah lupa’. Kita ingat yang baharu sahaja. Bila mari
(datang) masalah, tukar perdana menteri, mari masalah pecat timbalan
perdana menteri. Lepas satu satu. Masalah tak selesai.
“Lantik yang baharu, masalahnya itu juga (berulang). Sebabnya kita tak
kembali kepada Islam. (Sepatutnya) selesaikan masalah dengan Islam,”
katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Istiqamah Hingga
Kemenangan Pas Wilayah Persekutuan (Pihak 4.0), di sini, malam tadi.
Pas turut bersedia menyokong pemerintah sekarang sekiranya mereka kembali kepada Islam.
“Kita nasihatkan menteri-menteri sekarang segera kembali kepada Islam.
Kita setuju…sokong kalau dia (menteri) kembali kepada Islam.
“Kita tidak berebut jawatan. Tapi jika tidak kembali kepada Islam, kita
lawan habis-habisan. Ini tanggungjawab kita (Pas),” katanya.
Tegasnya lagi, Pas hanya mahu menunaikan amanah dengan cara Islam oleh
itu, Abdul Hadi menyerahkan keputusan kepada rakyat untuk menentukan.
“Pas tidak berebut jawatan perdana menteri. Pas tidak berebut jawatan
jadi ketua kerajaan. Pas tak berebut jawatan menteri Kabinet. Acapkali
dah orang tawar…Pas tidak berebut jawatan ini.
“Pas mahu tunaikan amanah dengan betul mengikut Islam. Terpulang kepada
rakyat, nak pilih siapa. Kalau rakyat rasa amanah sudah hilang dengan
pemerintah, yang ada…pilih Pas. Terpulang pada mereka (rakyat),”
katanya.
Katanya lagi, orang bukan Islam tidak perlu takut dengan pemerintahan
mengikut jalan Islam kerana ia merupakan pemerintahan yang adil.
“Kita anggap pemerintahan negara adalah amanah dan orang-orang yang
bukan Islam, jangan taut dengan Islam. Islam bukan hanya agama. Dalam
Islam terkandung semua perkara termasuk pemerintahan negara. Kita tidak
paksa mereka masuk Islam.
“Dalam sejarahnya, ramai orang Islam dan yang bukan berada di bawah
pemerintahan Islam. Mereka rela berada di bawah pemerintahan Islam.
Pemerintahan yang adil,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment