Jika berlaku kenaikan kos (pengambilalihan) rizab negeri tidak boleh mengekalkan peruntukan RM150 juta setahun air percuma bagi tempoh enam hingga tujuh tahun.
Thursday, August 20, 2015
Isu Kos Penstrukturan Air : Bekas MB Cadang Selcat Adakan Pendengaran Awam
20 Ogos 2015, Shah Alam : Bekas Menteri Besar Selangor
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas
Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor
(Selcat) mengadakan pendengaran awam bagi mendedahkan kos sebenar
digunakan kerajaan negeri dalam melaksanakan proses penstrukturan semula
industri air di negeri itu.
Abdul Khalid (Bebas-Pelabuhan Klang) mencadangkan perkara itu bagi
membolehkan rakyat lebih memahami proses pengambilalihan itu selain
membetulkan dakwaan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bahawa berlaku
kepincangan dalam perjanjian sebelum ini ketika beliau (Abdul Khalid)
menerajui Selangor.
“Saya ingat kalau boleh Speaker adakan Selcat supaya perkara yang
tersimpan, tersorok dan yang tidak betul dikatakan (oleh Mohamed Azmin)
boleh dibincangkan di khalayak ramai supaya kita tunjukkan (ketelusan).
“Saya mahu dakwaan kononnya perjanjian dibuat kerajaan sebelum ini
salah, kita boleh jawab dan bincangkan supaya rakyat lebih fahami
perkara ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai rizab
kerajaan negeri yang sebelum itu dibangkitkan oleh Mohd Haslin Hassan
(PAS-Tanjung Sepat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini,
Khamis.
Terdahulu,
Mohamed Azmin ketika menjawab pertanyaan lisan Mohd Haslin memberitahu
persidangan Dewan bahawa sehingga 13 Ogos lepas rizab Selangor
mencatatkan sejumlah RM3.73 bilion berbanding pada 31 Dis tahun lepas
iaitu RM3.2 bilion.
Menteri Besar menjelaskan bahawa penggunaan rizab Selangor akan ditumpukan khusus kepada projek pembangunan dan bukan operasi.
Abdul Khalid kemudian bangun bertanyakan sama ada kerajaan negeri
masih mengekalkan nilai pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air
melibatkan RM2 bilion manakala RM7.65 bilion melibatkan liabiliti
syarikat-syarikat terlibat.
Adun Pelabuhan Klang itu turut mempertahankan kos asal keseluruhan
pengambilalihan itu termasuk kos pemberian air percuma sebanyak RM150
juta setahun.
“Saya nak tanya adakah kerajaan negeri akan tetap dengan harga
tersebut (kos pengambilalihan) kerana antara perkara dalam rizab ialah
pembayaran air percuma.
Jika berlaku kenaikan kos (pengambilalihan) rizab negeri tidak boleh mengekalkan peruntukan RM150 juta setahun air percuma bagi tempoh enam hingga tujuh tahun.
“Ia penting supaya DUN tahu harga (pemberian air percuma) yang kita
luluskan sejak 2012 itu akan kekal supaya rizab negeri tidak akan
terjejas hasil kenaikan rundingan air itu,” katanya.
Mohamed Azmin kemudian berkata kos rundingan penstrukturan semula
industri air diputuskan oleh Abdul Khalid sebelum ini dan beliau
(Mohamed Azmin) terpaksa mewarisi banyak kepincangan yang berlaku ketika
pentadbiran Abdul Khalid termasuk kecuaian dalam memuktamadkan industri
air, antaranya aset negeri diserah kepada kerajaan Pusat.
Pada masa sama, Menteri Besar berkata RM7.65 bilion sebenarnya adalah
liabiliti yang dibuat melalui bon syarikat konsesi ketika itu dan bon
ini diambil syarikat konsesi untuk membina beberapa loji rawatan air
(LRA) termasuk Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan Fasa 2 (SSP2).
Mohamed Azmin turut menuduh Abdul Khalid ketika menjawat jawatan
Menteri Besar pernah kononnya mengumumkan akan menaikkan tarif air pada
kadar 18 peratus menyebabkan Abdul Khalid menafikan dakwaan itu dan
meminta Mohamed Azmin mengemukakan fakta untuk membuktikan dakwaannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment