
Thursday, August 27, 2015
Janganlah Menjadi Anak Muda Yang Dilabel Sebagai "Pak Turut"
EDITOR MENULIS...
27 OGOS 2015

Ketika lagu-lagu patriotik berkumandang di
corong-corong radio dan kebanyakan stesen televisyen menyiarkan
program-program berunsur perjuangan memerdekakan tanah air bersempena
menyambut Hari Kebangsaan negara Isnin ini, masih ada lagi pihak sibuk
hendak mengadakan perhimpunan haram.
Kita semua tahu dan akui, perhimpunan Bersih sebelum ini tidak
membuahkan hasil, sebaliknya sekadar tempat untuk meluahkan kemarahan
yang sia-sia. Perhimpunan ini hanya menjulang suara parti pembangkang
semata-mata.
Selain itu, ia turut memberi ruang kepada pihak tertentu
mengeksploitasi situasi perhimpunan tersebut. Sudah pasti media-media
asing akan sibuk merakamkan kejadian dan melaporkan kepada seluruh dunia.
Oleh itu, penulis berharap, anak-anak muda jangan menjadi ‘pak turut’
kepada pihak tertentu untuk turut sama turun ke jalan raya hanya kerana
tercandu dengan pelbagai propaganda jahat untuk memalukan negara dan
menjerumuskan kita ke arah perpecahan rakyat.
Tindakan Pas tidak mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk menyertai
perhimpunan Bersih 4.0 membuktikan pemimpin parti itu berfikiran
rasional kerana tarikh perhimpunan tersebut tidak sesuai dengan
hampirnya kita semua menyambut Hari Kebangsaan.
Masih banyak lagi saluran boleh digunakan jika tidak berpuas hati
seperti melalui saluran perundangan dan jika tidak berpuas hati dengan
kerajaan yang memerintah boleh menukar kepimpinan menerusi pilihan raya
umum akan datang. Saluran ini adalah cara yang selamat dan matang.
Perhimpunan Bersih 4.0 dilihat hanya sebagai meraih sokongan politik
semata-mata dan bukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Tidak
salah jika mengadakan perhimpunan secara aman kerana ia dibenarkan oleh
undang-undang dan dilindungi di bawah hak warganegara mengikut Perkara
10 Perlembagaan Persekutuan tetapi niat dan agenda yang tersembunyi oleh
pihak penganjur boleh dipertikaikan.
Sudah tiga kali episod perhimpunan Bersih diadakan dan kita sudah semakin bijak menilai sendiri apa sebenar yang mereka mahukan.
Ketika penganjur perhimpunan Bersih sibuk melaungkan hak demokrasi,
cubalah lihat sendiri berapa banyak kampung yang telah dirobohkan di
Pulau Pinang kononnya untuk tujuan pembangunan. Penduduk terbabit
menangis siapa yang peduli? Adakah penganjur perhimpunan Bersih peduli
dengan nasib mereka?
Penganjur perhimpunan hanya bersikap selektif dalam perjuangan mereka
dan hanya menjaga kumpulan elit ahli politik pembangkang semata-mata.
Rakyat dipergunakan dan ada juga dikatakan diupah untuk menyertai
perhimpunan terdahulu.
Golongan ini hanya sibuk berpolitik sepanjang masa tidak kira waktu
sehingga tidak peduli langsung nasihat dan pandangan yang diberikan
pelbagai pihak tentang keamanan dan keselamatan termasuk tidak sensitif
ketika rakyat ingin menyambut Hari Kebangsaan. Sikap taksub kepada
berpolitik telah mengenepikan sikap rasional dan lebih kepada emosi demi
mengejar kepentingan diri dan kumpulan tertentu.
Sikap bongkak pihak penganjur ini memang sudah dijangka kerana mereka
sudah kemaruk untuk berkuasa melalui cara mengajak orang ramai
melakukan bantahan dan memberontak di jalan raya.
Malah ada di antara ibu bapa yang menyertai perhimpunan sebelum ini
membawa kanak-kanak untuk berhimpun dan kita boleh menilai sendiri di
mana tanggungjawab mereka? Apa yang ingin diperjuangkan oleh mereka
sehingga sanggup mengheret kanak-kanak menyertai perhimpunan berkenaan.
Menghasut rakyat memberontak di jalan raya bukanlah amalan rakyat
Malaysia selama ini. Hanya tidak sampai lagi tiga tahun kita akan
mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sewajarnya kita sabar
menunggu.
Cerita-cerita politik Malaysia sepatutnya hanya pada musim pilihan
raya tetapi sekarang seolah-olah mengheret rakyat berpolitik sepanjang
masa.
Mana-mana pihak yang hadir ke perhimpunan haram Bersih 4.0 perlu
sedar mereka tidak akan mengubah apa-apa sekadar hanya menjadi tukang
sorak dengan ucapan berapi-api daripada pemimpin pembangkang. Malah akan
ada pemimpin-pemimpin parti pembangkang hanya duduk memerhati daripada
bilik berhawa dingin sambil selesa minum kopi dengan teropong
masing-masing.
Rakyat harus faham bahawa penyudah perhimpunan Bersih kebanyakan akan
berakhir dengan keganasan serta tempat menjerit-jerit memaki pihak
polis. Mereka juga sengaja untuk mencetuskan provokasi serta ketegangan
agar pihak polis bertindak terhadap mereka ini.
Perhimpunan Bersih tidak akan lengkap jika tidak ada elemen-elemen
ini dan cubaan memprovokasi menambahkan kemeriahan dan saya yakin pihak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih bijak menangani orang seperti itu.
Seharusnya sambutan Hari Kebangsaan dengan tema sehati sejiwa akan
menjadi agenda lagi penting kepada negara dan akan membentuk karektor
anak muda Malaysia yang lebih bertanggungjawab kepada negara.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Cintakan tanah air itu
sebahagian daripada iman.“ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Kecintaan
kuat kepada negara akan membawa negara lebih maju ke hadapan.
Kepada anak-anak muda, jangan mudah diperalatkan untuk menjadi ‘pak
turut ‘ demi kepentingan politik sempit pihak–pihak tertentu. Letakkan
golongan ini sebagai lambang dan simbol intelektual agar golongan ini
dihormati dan disanjungi.
Sudah-sudahlah penganjur perhimpunan Bersih mengajak anak muda untuk
berdemonstrasi. Jangan cuba menipu anak muda lagi. Kepada ahli-ahli
politik pergilah berdebat di Parlimen sampai pecah mikrofon berucap,
jangan pecah-belahkan perpaduan rakyat.
Anda yang bertanding pilihan raya jika mengatakan pilihan raya tidak
adil sekalipun pergilah ke mahkamah bawa anak dan isteri serta sanak
saudara dan jangan mengheret rakyat dalam mengejar kepentingan politik
sendiri.
Jangan ingat kami anak muda tiada maruah. Kami mempunyai jatidiri
untuk negara bukannya untuk parti politik tertentu! Agenda anak muda
pada hujung minggu ini adalah menyambut Hari Kebangsaan dengan semangat
sehati sejiwa bukannya menyertai perhimpunan haram.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment