Thursday, August 27, 2015
Polis Awasi Kumpulan Anarki
Kementerian
Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang
mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada
Jumaat dan Sabtu ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata,
kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya
pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.
“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana
menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus
akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000
anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat
ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi
mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.
Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan
kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan
semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.
Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram
itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai
alat politik untuk menumbangkan kerajaan.
“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram
berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah
pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik
pembangkang,” katanya.
Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai
kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun
lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.
Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil
semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir
pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman
dan tenteram selama ini.
“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan
menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku
amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta
demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu
mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.
“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana
tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku
sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda”katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment