Saturday, August 15, 2015

Kerajaan Akan Cepatkan Kewujudan Pusat Perniagaan ICT Melayu Setanding #LowYat

Kerajaan diminta untuk menyegerakan cadangan me­wujudkan sebuah pusat penjualan barangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khususnya telefon pintar, khas untuk usahawan Melayu di premis milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, ia perlu dilaksanakan segera untuk usahawan Melayu kerana kebanyakan perniagaan sedia ada telah pun dimonopoli oleh kaum lain.

Menurut beliau, sekiranya pusat jualan itu diwujudkan, ia bukan sahaja dapat membantu usahawan Melayu berniaga dalam suasana yang sihat malah turut mampu memperkasakan keupayaan mereka untuk merebut peluang bersaing dengan peniaga lain.

"Melihat kepada perkembangan isu semasa yang melanda negara baru-baru ini, inilah titik awal untuk orang Melayu bangkit daripada kekecewaan terutama sikap segelintir peniaga di Plaza Low Yat, Bukit Bintang yang enggan bertolak ansur ketika urus niaga."

"Keadaan yang serupa turut berlaku di Kompleks Pertama yang tidak memihak kepada orang Melayu kerana kebanyakan premis perniagaan alat telekomunikasi di bangunan milik UDA itu sudah lama didominasi oleh kaum lain," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas berhubung cadangan MARA sebelum ini yang mahu menjadikan kawasan di aras tiga Kompleks Menara Mara sebagai sebuah pusat penjualan barangan ICT khususnya telefon pintar khas untuk usahawan Melayu.

Dalam pada itu, Mohd. Razlan turut menggesa Kementerian Perdagangan Antara­bangsa dan Industri dan Mara supaya memberi galakan kepada usahawan Melayu untuk menjadi pembekal alat telekomunikasi yang diambil daripada pengeluar secara terus.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula berkata, dengan wujudnya pusat perniagaan itu, ia dapat menyemarakkan perniagaan tersebut terutama untuk anak muda Melayu yang mahu menceburkan diri di dalam perniagaan berunsurkan ‘gajet’.

"Kita berharap cadangan tersebut tidak akan dipolitikkan oleh pihak tertentu yang mempunyai prasangka perkauman kerana ia adalah untuk membangunkan ekonomi anak muda Melayu. 

"Bagaimanapun kita berharap Mara bukan sahaja menyediakan ruang niaga tetapi program pembangunan jangka pendek dan panjang bagi memastikan lebih banyak anak muda berjaya dalam bidang tersebut," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment