Wednesday, August 19, 2015
Kerajaan Mahu Hasilkan Komuniti Usahawan Bumiputera Yang Kukuh, Mantap – Najib
Kerajaan akan terus memperkenal dan melaksana
pelbagai program bagi menghasilkan satu kelompok atau kelas usahawan
bumiputera yang lebih teguh dan mantap terutama apabila negara mencapai
status negara maju pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Beliau berkata walaupun pelbagai usaha untuk merealisasikan matlamat
itu telah dilaksana dan ada sedikit kejayaannya, namun ia tidak
menampakkan kejayaan sepenuhnya terutama dari segi bilangan dan
kedudukannya untuk bersaing dalam pasaran.
“Kita telah berjaya selama ini untuk mewujudkan kelas menengah
bumiputera, melalui dasar-dasar kerajaan yang telah mencetuskan apa yang
disifatkan sebagai ‘social mobility’ iaitu mereka yang terdiri daripada
kumpulan-kumpulan profesional, mereka yang mendapat tempat di institusi
pengajian tinggi, yang mendapat kelulusan akademik.
“Namun satu lagi usaha kita ialah untuk mewujudkan satu lagi kelompok
dalam komuniti bumiputera iaitu dalam kalangan para usahawan,” katanya
semasa berucap melancarkan BAHTERA Bumipreneurs of Tomorrow, di sini
Rabu.
Perdana Menteri berkata dalam ‘langkah terakhir’ sebelum mencapai
negara maju, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mencapai
hasrat itu termasuk mewujudkan badan-badan seperti Majlis Pemerkasaan
Ekonomi Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang
bertujuan menggariskan usaha-usaha untuk pemerkasaan ekonomi bumiputera.
Katanya, selain itu kerajaan juga memperkasakan peranan badan-badan
atau agensi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat dan TEKUN serta
memperkenalkan dasar-dasar baharu bagi membantu usahawan bumiputera.
“Inilah antara yang kita laksanakan terkini termasuk juga iaitu
syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai non core business (perniagaan
bukan teras) yang boleh dijual kepada usahawan bumiputera dan melakukan
partnership dalam perniagaan tertentu, kita lakukan kerana pada
akhirnya kita mahu usahawan bumiputera yang mampu bersaing,” kata
beliau.
Mengenai BAHTERA, Najib berkata ia merupakan satu lagi inisiatif
baharu yang juga satu platfom mengumpul data mengenai usahawan
bumiputera dan boleh digunakan untuk pemerkasaan mereka.
Katanya, dengan adanya data itu nanti, maka kerajaan boleh
menyampaikan maklumat secara lebih fokus kepada komuniti usahawan
bumiputera tentang bagaimana mereka boleh mengembangkan aktiviti
keusahawanan mereka.
“BAHTERA ini juga membolehkan usahawan menjalin hubungan dalam
perniagaan dan menyokong supply chain (rangkaian bekalan) antara satu
usahawan dengan usahawan lain, dan untuk mereka mendapatkan produk dari
usahawan lain,” katanya.
Perdana Menteri bagaimana pun menekankan, di sebalik pelbagai usaha
dan dasar yang dilaksanakan, jalinan kerjasama dan sokongan antara
usahawan juga menjadi perkara yang harus diamalkan untuk memperkasakan
komuniti usahawan bumiputera.
“Kalau kita boleh melihat dimensi tambahan ini, maka saya percaya
bahawa ia akan merupakan satu lagi impetus kepada peningkatan
pemerkasaan komuniti usahawan bumiputera,” kata beliau.
BAHTERA merupakan program kesedaran untuk menyediakan usahawan
bumiputera menghadapi alam perniagaan dengan menggunakan teknologi,
model perniagaan baharu dan rangkaian niaga untuk memastikan daya
kemampanan.
Program dua hari bermula Rabu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di
sini menyediakan pelbagai agenda yang memfokuskan untuk membangun dan
mengembangkan perniagaan.
Ia merupakan inisiatif Kementerian Kewangan dan Unit Strategi
Nasional yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan
selain syarikat-syarikat dari komuniti usahawan bumiputera yang turut
menyediakan perkongsian ilmu dan bengkel keusahawanan.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment