Tuesday, August 18, 2015
Khalid Desak Azmin Perjelas Kos Penstrukturan Semula Air
SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali didesak menjelaskan
dengan terperinci kos pengambilalihan berhubung proses penstrukturan
semula industri air di negeri itu yang dibimbangi memberi kesan kenaikan
tarif air pada masa akan datang.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) berkata penjelasan
itu sangat penting kerana dibimbangi akan berlaku peningkatan kos bagi
pengambilalihan syarikat konsesi yang akan memberi kesan terhadap harga
air seterusnya membebankan rakyat Selangor.
"Penjelasan yang dibuat Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) semalam
hanyalah kos sebanyak RM2 bilion tetapi dia tidak tegaskan tentang baki
kos pengambilalihan sebanyak RM7.65 bilion itu.
"Jika kerajaan negeri tidak dapat menjelaskan kepada rakyat pecahan kos
RM9.65 bilion (tawaran asal dibuat kerajaan negeri berhubung
pengambialihan) dan berlaku pula peningkatan kos, maknanya ia akan beri
kesan pada harga air akan datang," katanya kepada pemberita ketika
ditemui di lobi DUN di sini Selasa.
Semalam, Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika menjawab
pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Kajang)
berkaitan industri air di Selangor berkata rakyat Selangor
berkemungkinan akan menanggung kenaikan tarif air pada masa akan datang
setelah perjanjian utama penstrukturan industri air negeri itu
dimuktamadkan termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.
Dalam penjelasan lanjut, Mohamed Azmin berkata kenaikan tarif itu
mungkin difikirkan untuk jangka masa panjang mengikut jangkaan kos
pengambilalihan yang ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
(Air Selangor).
"Perjanjian yang akan dimuktamadkan pasti mempunyai kos proses
penstrukturan dalam memastikan perkhidmatan air yang berkualiti, namun
kerajaan negeri tidak akan bebankan rakyat. Dalam usaha mengurangkan 35
peratus kadar air tidak terhasil (NRW) ketika ini, pastinya ia
memerlukan kos yang besar bagi menangani perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor turut
mencadangkan supaya proses pengambilalihan pengurusan Syarikat Bekalan
Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga Berhad (PNB) dilakukan
sekarang bagi memastikan perkhidmatan air untuk rakyat Selangor dapat
dijalankan dengan baik.
"Kita tidak mahu terdapat keadaan yang mana pekerja tertunggu-tunggu dan
tidak mendapat arahan tepat dalam memberi perkhidmatan air yang terbaik
kepada rakyat," katanya.
Mengenai kenyataan Mohamed Azmin bahawa kerajaan negeri akan meneliti
semula program pemberian air percuma kepada rakyat, Abdul Khalid
berkata: "Sebab itu Mohamed Azmin kena jelaskan jika kita dapat beli
(ambilalih industri air Selangor) dengan RM9.65 bilion selain dapat
atasi masalah pengurusan (syarikat konsesi) yang ada sekarang dan
kurangkan NRW sudah tentu masalah kenaikan harga air tidak timbul".
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment