Monday, August 17, 2015
Langkah Kajang.... Langkah Kecundang Kata Khalid Bekas MB Selangor
Alhamdulillah, kes Saman Fitnah yang saya failkan terhadap Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin
Nasution berakhir pada Jumaat lepas setelah kedua-dua pihak bersetuju
untuk menyelesaikannya secara baik.
Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan dimana
Dato’ Saifudin selaku Defendan Pertama dan PKR Defendan Kedua telah
menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan
mengedarkan satu laporan 91-mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan
fitnah terhadap saya.
Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan
bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri
Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah
melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.
Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di
dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi
akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.
Sebagai seorang Islam, saya menerima penyataan maaf dan kesal PKR serta
Dato' Saifuddin dan mengambil semangat bulan Syawal yang mulia ini untuk
memohon maaf zahir dan batin jika saya ada menyinggung perasaan beliau
serta mana-mana ahli PKR yang lain.
Sama seperti kes Saman Fitnah yang saya failkan sebelum ini, saya
sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada dengan tidak mahu
memanjangkan persengketaan jika pihak yang membuat tuduhan mengakui
kesilapan mereka. Pada saya penyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus
maruah saya yang tercalar dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan.
Saya akui, kes yang terakhir ini telah memberi tamparan yang amat hebat
kepada saya dan pasukan saya di pejabat Menteri Besar yang sentiasa
mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan
kemahiran pengurusan selama saya menerajui pentadbiran kerajaan Negeri
Selangor. Tidak dinafikan juga bahawa kami berasa amat kecewa kerana
ditewaskan oleh fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun
melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.
Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan
saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang
tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan
antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan
hipokrit.
Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan
“grassroots” dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya
– telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut
terpalit dan diaibkan.
Permainan politik yang begitu dahsyat ini hanya merugikan rakyat
terutama di Selangor dimana isu-isu pokok telah diabaikan. Penstrukturan
Air Selangor masih belum dapat dilakukan dengan lancar sebagaimana
sepatutnya, tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan “rentier”
yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa
serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur.
Sebagai seorang Ahli Parlimen dan ADUN yang dipilih secara sah oleh
rakyat, saya mahu berusaha untuk mewujudkan satu suasana politik yang
menguntungkan rakyat. Justeru setelah maruah saya ditebus dengan
kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang
dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini
boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini.
Terima kasih saya ucapkan kepada barisan peguam saya Edmund Bon, Joshua
Tay dan Lee Shee Pin dari BON Advocates atas khidmat guaman professional
yang telah diberikan,
Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada
penyokong-penyokong saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata
semangat kepada saya dari bermulanya kemelut Langkah Kajang sehinggalah
ke hari ini.
Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini
dengan menerima pernyataan maaf dari para Defendan namun pada saya ini
adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi kita masih
berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam.
Sekian Terima
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
AHLI PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK &
ADUN PELABUHAN KLANG
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment