Wednesday, August 19, 2015
Macam Macam Hal lah.....PKR Dakwa Kecederaan Bahu Anwar Semakin Serius, Perlukan Pembedahan
PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan supaya
membenarkan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini
dihukum penjara menjalani pembedahan dengan segera berikutan kecederaan
di bahu beliau semakin serius.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kecederaan serius yang
dialami Anwar telah pun diketahui oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan
Penjara dan pihak hospital.
Menurutnya, kecederaan ini menyebabkan kesakitan berterusan kepada Anwar
yang mendesak keperluan pembedahan dibuat ke atas kecederaan bahu
beliau dengan segera.
"Kecederaan ini sudah bertambah buruk menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada Datuk Seri Anwar berterusan.
"Sehubungan itu, kami mendesak supaya Datuk Seri Anwar dibedah
serta-merta berikutan kesakitan yang dialaminya," katanya pada sidang
media di ibu pejabat PKR di sini, Rabu.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kali terakhir
Anwar dimasukkan ke hospital adalah pada awal Julai lalu selepas
sebulan bekas ketua pembangkang itu dimasukkan ke hospital buat pertama
kali pada Jun.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengotakan
janjinya sebelum ini supaya Anwar diberikan rawatan yang sewajarnya.
"Kami telah memohon dan merayu rawatan dan penyelesaian untuk masalah
tersebut secara terus dan juga melalui peguam kami. Rayuan kami setakat
ini tidak diendahkan," katanya.
Pada Jun lalu, Najib menerusi kenyataannya di Twitter berkata: "Saya
ambil maklum kesihatan DS Anwar Ibrahim dan saya mahu pihak berkenaan
memastikan beliau menerima rawatan sewajarnya."
Selain pembedahan segera, Nurul Izzah berkata, pihaknya turut memohon
Anwar dibenarkan untuk diperiksa oleh doktor pakar pilihan keluarga
secara konsisten dengan kadar segera seperti yang diminta sebelum ini.
Nurul Izzah turut mendakwa fisioterapi yang telah disyorkan oleh pakar
Hospital Kuala Lumpur tidak dilakukan secara menyeluruh dan konsisten
sehingga menghalang proses pemulihan fizikal bapanya.
"Kita mohon Anwar dimasukkan ke dalam wad serta-merta dan fisioterapi dibuat seberapa kerap yang perlu," katanya.
Beliau menambah, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan
Penjara dan pihak kerajaan bertanggungjawab penuh ke atas keperluan
perubatan Anwar dan sebarang kesan terhadap kesihatannya sekiranya
permintaan yang dibuat masih lagi tidak diendahkan.
Anwar kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah
Persekutuan pada 10 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara selama
lima tahun atas dakwaan liwat terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari
Azlan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment