Monday, August 24, 2015

Mampukah PAS Menahan Asakan GHB?

EDITOR MENULIS...
24 OGOS 2015

Sehingga ke hari ini, ramai yang masih keliru dan menunggu keputusan pimpinan PAS ke atas ahli-ahli mereka yang bertindak menyertai Gerakan Harapan Baru; gerakan yang mengumpulkan ahli-ahli PAS sementara menanti pengesahan parti baru yang masih dalam proses untuk tujuan mufarakah dari parti itu.
harapan baru mat sabu
Gerakan yang sedang dibuat dilihat sangat tersusun, apabila GHB memutuskan untuk bermula di Parlimen Kota Raja. Apa signifikannya Kota Raja?

Pada PRU 13 yang lalu, PAS memenangi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 29,792 undi. Itu juga merupakan sejarah untuk seorang calon PAS memperolehi majoriti sebesar itu. Secara psikologi, GHB ingin memulakan langkah dengan membuktikan bahawa kawasan terkuat PAS (dengan hujah jumlah majoriti tertinggi) telah berpaling dari PAS untuk bersama GHB.

Ia diikuti pula dengan kawasan Shah Alam, yang dimenangi oleh PAS dan diikuti dengan Kapar (Parlimen Kapar termasuk DUN Meru; YB Dr. Rani Osman, mantan Pesuruhjaya PAS Selangor). 

Semuanya bermula di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kubu kuat PAS di kalangan ahli parti itu.

Kenapa tidak bermula di Kelantan atau Terengganu? Bagi saya, GHB telah memulakan perang psikologi. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan dan “WOW factor” agar GHB dapat mempengaruhi ahli-ahli parti PAS yang masih setia. Apatah lagi jika ahli tersebut dalam situasi “terhoyong-hayang pendiriannya”, maka lebih mudah tugas untuk mempengaruhi.

Ini amat bertentangan dengan apa yang dilafazkan oleh pimpinan PAS yang menghadiri program “Jasamu Dikenang” di Bakri, Johor setelah pro Anwarinas tewas di muktamar yang lalu. Dalam program tersebut, jelas berkumandang kata-kata semangat bahawa “wadah baharu” akan bermula di selatan (Johor) dan terus ke utara serta Sabah Sarawak.

Strategi licik menyaksikan mereka memilih Kota Raja, dan bukannya seperti apa yang diungkapkan di Bakri.

Terbaru, PAS Gelang Patah dikejutkan apabila 91 AJK PAS meletakkan jawatan.

Bagi saya, ianya tidak mengejutkan, malah saya menjangkakan akan lebih ramai AJK PAS dari Johor akan mengikut jejak langkah yang sama.

Jangkaan saya ini berdasarkan dari sumber dalaman PAS, yang menyatakan bahawa pada 2 muktamar yang lalu, yang menyaksikan Mat Sabu mengenepikan Nasharuddin Mat Isa, “swing” undi dari Johor adalah punca kepada kemenangan Mat Sabu. Oleh yang demikian, saya yakin bahawa Johor adalah akan menjadi salah satu kubu terkuat GHB kelak. Tentu ada maksud yang tersirat apabila program “Jasamu Dikenang” dibuat di Bakri, Johor dan tidak di Kelantan atau Terengganu.

Maka, tidak hairanlah jika ada cakap-cakap politik yang mendakwa jumlah kehadiran Yang Di Pertua PAS Kawasan adalah amat sedikit pada mesyuarat PAS Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Dato’Dr. Mahfodz Mohamed (pro ulamak PAS).

Saya tidak tahu bagaimana PAS boleh bertahan tanpa mengambil sebarang tindakan drastik ke atas ahli mereka yang menyertai GHB, lebih-lebih lagi setelah Mat Sabu sendiri mengeluarkan kenyataan agar ahli parlimen dan ADUN PAS perlu meletakkan jawatan kerana kemenangan yang mereka miliki adalah berdasarkan bersama tiket pakatan pembangkang.

Untunglah Mat Sabu, kerana dia sendiri tewas pada PRU yang lalu, kini mahu yang menang untuk letak jawatan pula.....

Fikirkanlah bersama...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRi9-k6lkLvLEuzcyoax6kfUvkfTacPnmvYIbY9pD9wxT5ytriwDr2i60S4jTxQs8KwAzfbs3v5LGKVEGhFuPUqZOYvQKPpM068VXZz7A__HRf02MDvJFRubdLol1Fkm9ntvrwmzNZM3A/s200/IMG_4072-1.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment