Tuesday, August 25, 2015
Menang Atas Tiket PAS Bukan PR : Tuan Ibrahim Ingatkan Mat Sabu
SHAH ALAM : Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menempelak
Mohamad Sabu yang menyarankan Ahli Parlimen dan ADUN PAS meletakkan
jawatan berikutan kemenangan mereka dicapai atas dasar tiket Pakatan
Rakyat (PR).
Menurut Tuan Ibrahim, tidak timbul isu Ahli Parlimen dan ADUN PAS
meletakkan jawatan kerana mereka bertanding atas tiket PAS dan bukannya
PR.
"Dia (Ahli Parlimen dan ADUN PAS) bertanding atas tiket PAS, bukan atas
tiket Pakatan Rakyat (PR). Jadi semua calon PAS bertanding atas parti
PAS dan Baiah kepada PAS jadi tidak timbul soal Pakatan Rakyat. Ia bukan
parti jadi setiap wakil kepada parti. Cuma PR mungkin hanya kepada
jentera dan petugas, itu tidak dinafikan. Tetapi dari segi realitinya,
dia mewakili parti, parti yang calonkan."
Tuan Ibrahim mengulas gesaan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB)
Mohamad Sabu yang berkata semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang
sepatutnya meletakkan jawatan kerana menang pada Pilihanraya Umum (PRU)
ke-13 lalu atas tiket Pakatan Rakyat.
Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang juga bekas Naib Presiden PAS sebelum ini
berkata demikian sebagai menjawab saranan Presiden PAS Datuk Seri Hadi
Awang yang mahu wakil rakyat PAS yang menyertai GHB supaya meletakkan
jawatan.
Tuan Ibrahim berkata wakil rakyat yang menyertai GHB perlu
bertanggungjawab dengan sumpah Baiah yang dilafazkan mereka ketika
dicalonkan pada PRU-13 lalu.
Malah katanya, individu yang bertindak keluar parti perlulah meletakkan
jawatan kerana kemenangan kerusi berkenaan adalah atas inisiatif parti
mencalonkan mereka.
"Ahli PAS tidak perlu letak jawatan sebab masih kekal bersama PAS dan
mewakili PAS, bukan bertanding atas PR, bertanding atas lambang parti.
Tetapi yang timbul masalah sekarang ialah dia (yang ingin sertai GHB)
ahli PAS tapi keluar daripada PAS, jadi kena tanggungjawab bagaimana
lafaz Baiah. Kalau nak keluar parti, mesti letak jawatan," katanya.
Kemelut mengenai status wakil rakyat yang menyertai GHB terus
dipersoalkan ramai pihak terutama PAS kerana enggan meletakkan jawatan
selaku Ahli Parlimen dan ADUN walaupun sudah mengesahkan menjadi ahli
GHB.
Antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungip dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment