Saturday, August 22, 2015

Mufti Larang Umat Islam Gulingkan Pemerintah...

Tindakan mengguling kerajaan merupakan satu perbuatan yang haram kerana perkara itu tidak terdapat dalam ajaran agama Islam. Demikian disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, umat Islam perlu mencari alternatif yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan bukannya bertindak dengan mengguling kerajaan. 

Menurutnya, seorang Islam itu diwajibkan untuk menasihati kerajaan sekiranya mendapati unsur kezaliman dalam pentadbiran dan ia merupakan jihad terbesar.

"Dan ini kita sudah usahakan. Kita telah menubuhkan pertubuhan ulama umarak yang terdiri daripada perdana menteri, menteri-menteri dan ulama, mufti-mufti yang kita adakan persidangan setiap tiga bulan sekali."

"Dalam mesyuarat itu kita akan memberi nasihat dan pandangan ... kita tegur apa yang patut dan tidak patut dibuat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Restoran D'Asnaf di Ipoh, semalam.

Malah, katanya, sebagai anggota kerajaan termasuk menteri dan Exco kerajaan negeri, mereka sudah pun berikrar untuk melaksanakan tugas mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

"Ikrar berkenaan yang menyatakan sumpah dengan nama Allah sebanyak tiga kali merupakan sumpah yang perlu dilaksana ... kalau dia melanggar sumpah, maknanya dia dilaknat Allah."

"Bila kita bersumpah selagi sumpah itu tidak melanggar syarak, wajib kita laksanakan ... kalau bersumpah untuk melakukan benda melanggar syarak, wajib dia batalkan sumpah," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, menyentuh tentang penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai 'vape', Harussani memberitahu, setiap perkara yang mendatangkan bahaya terhadap kesihatan adalah termasuk di dalam kategori haram menurut Islam.

"Setakat ini belum lagi (dikeluarkan fatwa rasmi)... jika ada orang minta untuk keluarkan fatwa, kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) akan panggil bahagian pendidikan dan kesihatan untuk terangkan kepada kita, baru buat (keluarkan) fatwa," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment