Monday, August 17, 2015

PAS Akan Kalah Teruk Pada PRU14 Jika Bersendirian - Hu Pang Chaw

KUALA LUMPUR : PAS tidak mampu memikul tanggungjawab menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sendirian dan tindakan itu akan mengundang kegagalan lebih besar parti berteraskan Islam itu.

Bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw menegaskan ahli serta pimpinan PAS perlu menyedari hakikat tersebut dan parti itu akan kalah jika terus berkeras untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.

"Sebenarnya kalau kita lihat fenomena politik di Malaysia parti mana-mana pun baik daripada BN ataupun Pakatan Rakyat sebelum ini semuanya menang atas semangat pakatan," katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata PAS tidak mampu menghadapi PRU14 tanpa mendapat sokongan daripada parti-parti komponen lain dan ia dibuktikan jika dilihat dari keputusan pilihan raya umum yang lalu.

"Jadi sebelum wujudnya Pakatan Rakyat, PAS hanya menang di Kelantan dan bila PAS menang pada tahun 1999 di Terengganu itu bukan kerana kekuatan PAS tetapi kerana perpecahan Umno di Terengganu.

"PAS boleh menang di Kedah pada 2008 itu satu tanda bahawa ada pakatan dengan sokongan daripada PKR dan DAP di mana saya rasa mungkin rakyat lebih suka kepada Pakatan sebagai satu gabungan politik bukan parti individu," katanya.

PAS tidak boleh mendabik dada dengan kedudukan semasa

Ujar Hu lagi, PAS tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan serta kemampuan memikul tanggungjawab hadapi pilihan raya umum kerana pada masa sama masih memerlukan sokongan daripada parti komponen.

"Jadi PAS tidak boleh berasa selesa dengan menyatakan kita boleh bertanding dan menang atas tiket sendiri kerana sejarah telah terbukti.

"Pada pilihan raya umum akan datang sudah tentu PAS akan berdepan satu masalah yang besar iaitu adakah rakyat tetap percaya kepada PAS bila bertanding atas diri sendiri dan tidak ada apa-apa pakatan dengan parti yang lain," katanya.

Beliau memberitahu oleh kerana Pakatan wujud hasil daripada gabungan parti-parti komponen maka sudah pasti PAS memerlukan sokongan tersebut untuk memenangi pilihan raya.

"Kalau kita lihat balik DAP serta PKR begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor di mana mereka mampu mewujudkan kerajaan atas nama Pakatan bukan kerajaan DAP ataupun kerajaan PKR.

"Jadi nasihat saya PAS harus berfikir dengan semasak-masaknya ke mana mereka nak pergi dalam pilihan raya yang akan datang dan apakah dasar perjuangan bila Pakatan Rakyat tidak lagi wujud?," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment