Monday, August 17, 2015
Tunjuk Bukti 3,000 Ahli Sertai GHB - PAS Selangor
SHAH ALAM : PAS Selangor hari ini menuntut penjelasan daripada Gerakan
Harapan Baru (GHB) Selangor berhubung dakwaan terdapat lebih 3,000
penyertaan daripada ahli parti Islam itu yang menyertai pertubuhan
berkenaan.
Bercakap kepada Antarapos, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin
Othman memberitahu dakwaan itu dianggap tidak berasas memandangkan hanya
ratusan sahaja bilangan ahli parti direkodkan menyertai pertubuhan
berkenaan.
"Saya tidak pasti dari mana Izham ambil bilangan 3,000 yang diisytiharkan itu.
"Sesiapa pun yang mahu menyertai GHB terserah kepada diri masing-masing.
Yang pastinya pentadbiran PAS tidak terjejas. Bilangan 3,000 yang
diisytiharkan Izham itu baru 0.5 peratus ahli PAS di Selangor. Dan
Selangor masih lagi menerima penyertaan baru ke dalam PAS," katanya.
Khairuddin mengulas kenyataan Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim
bahawa keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000
orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS.
Menyatakan gerakan itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak
termasuk dari bukan Islam, Izham juga menambah banyak desakan daripada
pemimpin parti Islam itu untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.
Menurutnya lagi keahlian GHB di Selangor semakin bertambah dengan lebih 20 kawasan sudah dibentuk.
GHB baru-baru ini mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib,
Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa
itu.
Manakala pada minggu ini seramai 13 ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS
Shah Alam, termasuk Ketua Pemudanya, Helmi Radzuan semalam mengumumkan
peletakan jawatan mereka di peringkat kawasan selepas parti Islam itu
kini dilihat lebih eksklusif selepas pemilihan Jun lalu.
Antara sebab lain tindakan itu diambil adalah kerana kerjasama di
peringkat kawasan dengan kalangan Pemuda negeri semakin longgar.
Khairuddin dalam pada itu yakin PAS Selangor langsung tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment