Tuesday, August 04, 2015
PAS Perlu Terbuka Kerana GHB Tak Bercanggah Dengan Islam - Kamaruddin Jaafar
KUALA LUMPUR : Anggota Gerakan Harapan Baru (GHB) Datuk Kamaruddin Jaafar
meminta PAS untuk bersikap lebih terbuka terhadap gerakan berkenaan
yang disifatkan sebagai tidak bercanggah dengan pegangan Islam.
Justeru katanya selagi GHB tidak didaftarkan pertubuhannya sebagai parti
politik, PAS tidak boleh memecat ahlinya yang berhasrat menyertai
gerakan itu.
"Tengok kepada keadaan. Kalau misalnya wujud parti yang baru (GHB) itu
bukan keluar secara automatik (tidak lagi menjadi ahli PAS), tidak perlu
keluar dan dipecat pun.
"PAS seharusnya ada sikap yang terbuka kerana menghormati pendirian dan
hasrat yang tidak bercanggah dengan Islam, kecuali kami menolak Islam,
sekular. Walaupun itu tuduhan kepada kami," katanya ketika ditemui di
Lobi Parlimen hari ini.
Malah tegas beliau kumpulan progresif PAS yang menubuhkan gerakan
berkenaan tidak akan keluar parti Islam itu meskipun dikehendaki berbuat
demikian.
"Tidak ada keperluan, kita tunggu perkembangan politik selanjutnya sebab
bukan masalah kita menolak Islam, hudud dan sebagainya, matlamat kita
adalah untuk memperkuatkan lagi suara-suara yang boleh kita gembeling
untuk memperjuangkan hak rakyat," katanya lagi.
Ditanya mengenai keahlian GHB, ujar Kamaruddin tiada pendaftaran dibuat
oleh gerakan berkenaan buat masa ini kerana ia masih belum didaftarkan
sebagai parti politik.
"GHB ini hanya ditubuhkan sebagai NGO secara tidak rasmi untuk persiapan
kearah cadangan menubuhkan satu parti politik baru untuk mengambil kira
perkembangan politik bukan sahaja mana-mana politik dalam negara yang
nampak sangat memerlukan kepada suara lantang.
"Kita terbuka kepada semua. Dari ahli UMNO, PAS atau mana-mana ahli
politik. Mungkin kita harapkan anak-anak muda yang mengundi sebelum ini
supaya suara mereka dan hasrat mereka dapat kita perjuangkan, krisis
masalah negara kita ini amat terkesan kepada anak muda," ujarnya yang
juga Ahli Parlimen Tumpat.
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarang semua
ahli mahupun golongan pemimpin parti berkenaan mendekati GHB.
Malah, tindakan menggantung keahlian atau pecat secara automatik juga
akan dikenakan keatas sesiapa sahaja yang didapati turut serta dalam
sebarang program GHB.
Selain dianggotai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selaku
Pengerusi GHB, ia turut dianggotai Naib Presiden PAS iaitu Salahuddin
Ayub dan Datuk Husam Musa; bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Mohamed Hanipa Maidin; bekas Ketua Dewan
Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.
Gerakan berkenaan dijadualkan akan ditubuhkan pada 14 September depan
yang bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan
Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 lalu terkubur.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment