Tuesday, August 25, 2015

PAS Tak Bagi Muka Kepada GHB Bertanding Di Kerusinya

Jangan mimpi hendak bertanding semula di kerusi PAS... itu amaran PAS Selangor kepada mana-mana MP atau ADUN yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Dalam kata lain, mereka terpaksa bertanding tiga penjuru atau bertanding di kerusi milik PKR dan DAP.

"Kalau mereka anggap PAS akan beri laluan pada pilihan raya umum akan datang, PAS tidak akan beri laluan sebab itu kerusi kita," kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, jika anggota GHB bercadang untuk bertanding pada pilihan raya, adalah lebih baik mereka bertanding di kerusi yang tidak ditandingi calon PAS.
"30 tahun akan datang sejarah akan mengingati GHB sebagai parti yang memenangkan BN dalam PRU akan datang dan inilah faktor kekalahan kalau berlaku pertandingan tiga penjuru," kata Mohd Khairuddin pada sidang media pada Isnin.

Ditanya mengapa PAS tidak memecat serta-merta anggota yang meletak jawatan dan menyertai GHB, Mohd Khairuddin berkata, Perlembagaan PAS menyebut bahawa keanggotaan akan terlucut dengan sendirinya apabila mana-mana anggota menyertai parti lain.

"Jika 'gentleman' kosongkan kerusi (bagi Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen yang berhasrat sertai GHB), ...biar rakyat tentukan," katanya sambil mendakwa anggota GHB seolah-olah bertindak seperti jurucakap kepada DAP yang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Sebelum ini, sebanyak 18 AJK PAS kawasan Kelana Jaya yang dipimpin Yang Dipertua Izham Hashim meletak jawatan bagi menyertai GHB. Sebelum ini beberapa pemimpin PAS kawasan Shah Alam, Kota Raja, Klang dan Kapar juga telah meletak jawatan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment