Tuesday, August 25, 2015
Lepaskan Jawatan : PAS Pulang Paku Buah Keras Kepada GHB
SHAH ALAM : PAS Selangor hari ini memulangkan ‘paku buah keras’ kepada
Gerakan Harapan Baru (GHB) kerana menyarankan Ahli Parlimen dan ADUN PAS
meletakkan jawatan kerana menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 atas
tiket ‘bersama pakatan pembangkang.’
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi
sebaliknya berkata, ahli PAS menyertai GHB yang sebenarnya khianat
kerana mereka dibenarkan bertanding dan diberikan watikah atas tiket
PAS.
Sehubungan itu katanya, adalah tidak berasas langsung apabila GHB yang
meminta PAS keluar Pakatan Rakyat ekoran Pakatan Rakyat 2.0 yang akan
dibentuk tidak lama lagi tidak membabitkan parti Islam itu.
"Sama ada ADUN atau Ahli Parlimen, kita diberikan surat mandat atau pun
surat kebenaran untuk bertanding oleh parti iaitu watikah untuk
bertanding. Dan kita diberikan mandat sebagai pemimpin yang menang dalam
PRU13 oleh pengundi ataupun rakyat ataupun pengundi-pengundi parti
ketika itu.
"Sudah tentulah pengundi-pengundi daripada PAS, PKR, DAP atau Umno dan
parti-parti lain. Jadi tidak wajarlah kalau kita mengkhianati amanah
ataupun undi-undi yang diberikan oleh pengundi-pengundi tersebut,"
katanya kepada pemberita.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi GHB, Mohamad Sabu yang mencadangkan
semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS melepaskan jawatan masing-masing.
Mohamad atau Mat Sabu memberi alasan semua ADUN dan Ahli Parlimen PAS
yang menang dalam Pilihan Raya Umum 13 adalah atas tiket ‘bersama
pakatan pembangkang.’
“Kenapa pula Ahli Parlimen GHB yang perlu letak jawatan? Mereka (PAS)
sebenarnya yang perlu berbuat demikian kerana tidak lagi bersama pakatan
pembangkang,” katanya.
Yunus dalam pada itu mengingatkan kepada semua pemimpin GHB supaya
belajar beristiqamah atas jasa PAS selama ini kepada mereka sebelum
mereka dipilih dan dicalonkan untuk bertanding di atas tiket PAS.
"Saya ingat kalau ketika itu, GHB pun tidak wujud lagi, parti Amanah
Rakyat pun tidak wujud lagi, jadi kenapa pula ADUN atau Ahli Parlimen
yang dipilih oleh rakyat hari ini perlu meletak jawatan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin
Othman turut menyelar kenyataan Mat Sabu yang dilihat terlepas pandang
dalam beberapa aspek selepas menyertai GHB.
"Kalau kita memecat keahlian pun tidak akan menjejaskan DUN dan
Parlimen, tidak menjejaskan. Kalau kita tengok contoh Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR, jadi dia tidak secara automatik
mengosongkan kerusi.
"Hujah yang mengatakan PAS yang perlu meletakkan jawatan, kita kena
ingat, kita tidak bertanding di atas tiket Pakatan Rakyat, simbol yang
kita bawa itu adalah simbol parti dan hujah mengatakan ya apabila
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendesak supaya 'gentleman'
letak jawatan bagi mereka yang keluar daripada parti, itu adalah kerana
mereka menang di atas watikah daripada PAS.
"Kalau tiada watikah, tiada pun orang boleh bertanding, tiada siapa boleh bertanding guna logo PAS," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, pemimpin GHB perlu faham dan kaji semula
Bai'ah yang mereka buat sebelum menyelar PAS ekoran kenyataan Presiden
PAS yang meminta mereka mengosongkan kerusi sama ada Ahli Parlimen
mahupun ADUN.
"Bai'ah adalah isu yang berasingan. Bai'ah adalah di antara dia dan parti," katanya.
Khairuddin dalam pada itu berkata, PAS semakin diterima oleh orang ramai
sejak parti itu berpendirian tegas dalam mempertahankan prinsip
perjuangannya.
Beliau menegaskan PAS tidak akan tergugat dengan GHB yang mahu menubuhkan Parti Amanah Rakyat tidak lama lagi.
"Di Kedah, 5,000 orang sahaja akan menyertai PAS. Kita menyasarkan di
Selangor ini 10,000 dalam proses mengumpulkan borang-borang. Tiba-tiba
ramai pula hendak jadi orang PAS sekarang ini.
"Tiba-tiba PAS ini dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip, keyakinan," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment